Share to: share facebook share twitter share wa share telegram print page

A Famosa

Koordinat: 2°11′29.82″N 102°15′1.10″E / 2.1916167°N 102.2503056°E / 2.1916167; 102.2503056

Kota A Famosa
کوتا أ فموسا
Tinggalan pintu Kota Melaka yang dipanggil Porta de Santiago (Pintu Santiago).
Map
Maklumat umum
StatusSebahagian besar bangunan telah diruntuhkan.
JenisBangunan bersejarah
LokasiBandaraya Melaka
NegaraMalaysia
Koordinat2°11′29.82″N 102°15′1.1″E Sunting ini di Wikidata
Pembinaan bermula1512
PengendaliKerajaan Beraja Portugal Sunting nilai ini di Wikidata
Maklumat matra
Panjang382CM
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termasyhur" dalam bahasa Portugis) merupakan sebuah kubu yang telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1512 . A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

Nama A Famosa seringkali disalah sebut sebagai /ei/ Famosa, termasuklah oleh rakyat Malaysia, seolah-olah kata penentu "a" dalam bahasa Portugis dianggap sebagai huruf "A" dalam abjad Inggeris. Sebutan yang lebih tepat ialah /ɐ/ Famosa (bunyinya lebih kurang "ah").[1]

Sejarah

Peta bandar dan kubu Melaka (1780)

Selepas penawanan Portugis

A Famosa merupakan nama menara yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511.[2] A Famosa sebahagian daripada Kota Melaka (Fortaleza de Malaca) yang mengambil masa selama 5 bulan untuk dibina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.

Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.

Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau katelum (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.

A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.

Penaklukan oleh Belanda

Fail:View of old Gateway, Melaka 1991 (7886239824).jpg
Pintu Santiago (1670)

Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, yang menjelang masa itu mengalami korban lebih 7,000, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api.

Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".

Pentadbiran oleh British

Kubu A' Formosa: Perobohan oleh pihak British dihentikan oleh Sir Stamford Raffles pada 1808 sewaktu beliau singgah di Melaka. Apa yang tinggal dipelihara sehingga hari ini.
Pintu Santiago (Porta de Santiago) yang masih terpelihara
Kubu Middleburg terletak berdekatan dengan Fortaleza de Malacca

Apabila tentera Napoleon menjajah Belanda (Holland) pada tahun 1795, Putera. William of Orange melarikan diri ke London, di mana dia memerintah semua penempatan Belanda untuk menerima tentera British, bagi menghalang mereka dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai Melaka pada 1795 tanpa sebarang pertempuran.

Selepas menguasai Melaka, pihak British tidak berminat menyimpannya, ataupun membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perang. Sebaliknya meninggalkan kota sekukuh itu tanpa pertahanan yang mencukupi adalah mengundang mara bahaya, sekiranya ia ditawan oleh pihak musuh. Tambahan lagi, mereka tidak berminat bagi memulangkan Melaka ke tangan Belanda dengan kota A Famosa dalam keadaan utuh sebagai saingan kepada penempatan Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura. Dengan sebab itu, William Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan bagi memusnahkan kota A Famosa kepada Kerajaan Inggeris di India. [3]

Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dan memberikan dua sebab utama, iaitu hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera 'sepoy' dan pengecilan itu akan dapat membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang. Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan.

Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan.

Semasa kerja-kerja pemusnahan telah pun berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kaki-tangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar. Apabila mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ. Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.

Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota 'A Famosa' pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.

Pihak British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatra.

Penemuan arkeologi

Sistem aliran kumbahan A Famosa
Kubu Porta de Santiago dari bahagian belakang

Pada akhir November 2006, sebahagian struktur kota, dipercayai Kubu Middleburg dijumpai secara tidak sengaja semasa pembinaan menara berputar 110 meter di bandar Melaka.[4] Pembinaan menara ditangguhkan selepas penemuan tersebut. [5] Koperasi Muzium Melaka mensyaki struktur tersebut dibina oleh Belanda semasa pendudukan Belanda ke atas Melaka dari 1641 hingga 1824.[6]

Lebih awal lagi pada Jun 2003, menara kawalan digelar Kubu Santiago dijumpai semasa pembinaan Dataran Pahlawan.[7]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ A Famosa. Atlas Obscura. Dirujuk 31 Mei 2023
  2. ^ https://www.fairusmamat.com/2021/05/kedudukan-kubu-famosa-yang-sebenar.html
  3. ^ "Menurut Hikayat Abdullah". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-12-08. Dicapai pada 2007-11-21.
  4. ^ Lee, Cynthia. New Straits Times. Excavation for Malacca tower project unearths ruins of Dutch fort. 1 Disember 2006
  5. ^ The Star. Ancient wall stays, tower goes. 4 Disember 2006.
  6. ^ Lee, Cynthia. New Straits Times. Excavation for Malacca tower project unearths ruins of Dutch fort. 1 Disember 2006
  7. ^ The Star. Old watchtower may be under site. 4 Disember 2006.

Bacaan lanjut

Pautan luar

Kembali kehalaman sebelumnya