Adeline Anthony Primus Tsen (lahir 5 November 1986) merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengacara televisyen dan model wanita Malaysia.[1] Beliau banyak memegang watak antagonis dalam drama seperti Bukan Kerana Aku Tak Cinta[2] dan Rindu Awak 200%.[3] Beliau mula dikenali selepas membintangi drama bertemakan muzikal iaitu Hotel Mania terbitan KRU Studios pada tahun 2010. Pada Februari 2020, beliau diumumkan telah menyertai kumpulan One Nation Emcees sebagai ahli terbaru mereka bagi menggantikan Mimi Fly sebagai vokalis dimana ia telah dikosongkan sejak
Mimi mengumumkan pengunduran dirinya daripada kumpulan ONE sebelum ini.[4]
Kehidupan awal
Adeline berasal dari Kota Belud, Sabah dan menganut agama Kristian serta mempunyai darah keturunan Cina Hakka-Dusun Tindal.[5] Beliau juga merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik beradik.[6]
Selain itu, Adeline pernah bersekolah rendah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa , Kota Belud, Sabah. Beliau juga mempunyai ijazah dalam jurusan Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam.[7] Beliau sebelum ini pernah menyuarakan hasrat ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan di Akademi New York pada Julai 2014 namun terpaksa membatalkan hasrat tersebut atas komitmen kerja yang padat.[8]
Kerjaya
Permulaan Adeline berkecimpung dalam bidang seni bermula pada tahun 2009, ketika itu beliau masih menuntut di sebuah universiti tempatan dalam jurusan perakaunan di Shah Alam, Selangor. Beliau hanya menerima tawaran berlakon filem sewaktu cuti semester dan ketika masa terluang sahaja. Watak yang ditawarkan oleh beliau ketika itu hanyalah watak sampingan dan tidak banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaraan kerana watak lakonan beliau cuma beberapa adegan sahaja. Antara filem lakonan beliau ketika itu bertajuk Senario The Movie Episode 2: Beach Boys. Namun, lama - kelamaan semakin ramai penerbit dan pengarah menawarkan Adeline berlakon dalam filem dan juga drama televisyen. Dari situ, beliau semakin aktif berlakon sehinggalah sekarang. Adeline juga pernah bernaung di bawah syarikat produksi MIG Talent Sdn. Bhd selama dua tahun sebelum menamatkan kontraknya pada tahun 2012 dan kini beliau menguruskan aktiviti seninya sendiri. Biarpun tanpa pengurusan mana - mana syarikat produksi , Adeline tetap terus mendapat pelbagai tawaran berlakon. [9]
Seterusnya, Adeline juga telah mengembangkan bakatnya dalam bidang seni dengan terbabit sebagai pengacara TV rancangan Rias Jelita untuk siaran RTM. Program ini difokuskan untuk penonton kaum wanita dan tumpuannya di tempat seperti spa dan sauna.
Adeline pada mulanya mempunyai minat untuk berkecimpung dalam bidang nyanyian namun beliau memenuhi tuntutan bidang lakonan terlebih dahulu apabila penerbit David Teo melamar beliau membintangi filem terbitannya. Sebelum ini, beliau pernah melancarkan single pertama berjudul Kau Bagiku. [10] Single terbabit diterbitkannya sendiri , dicipta komposer Rudy Halim dan lirik hasil tulisan Mable Leo yang berkonsepkan R&B.
Selain itu, beliau juga telah sekali lagi mengeluarkan single berjudul Nadiku pada tahun 2016. Lagu ini merupakan karya Faizul Sany, pemenang Akademi Fantasia 2013 di bawah naungan Paranormal Records (Malaysia). [11]
Di samping itu, drama lakonan Adeline yang meletup dikalangan peminat drama ialah drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang bersiaran di Astro Mustika dan drama Rindu Awak 200% di TV3.
Pada 30 Jun 2017, Adelina telah muncul dalam sebuah telefilem berjudul Cinta Kucing Parsi bersempena sambutan Tahun Baru Cina. Menampilkan barisan pelakon Nadzmi Adhwa , Sean Lee dan ramai lagi, drama arahan sutradara Zamri Zakaria itu menonjolkan kehidupan dua sahabat iaitu Alex dan Jamal yang kurang bernasib baik apabila terpaksa menjadi penganggur. [12]
^"Tak takut dibenci". Utusan Online. Utusan Malaysia. 16 Februari 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-04-10. Dicapai pada 16 Februari 2016. Adeline Tsen sering bawa watak jahat kerana karakter itu mencabar