Bintang Hati ialah sebuah filem komedi muzikal romantik Malaysia 2004 arahan Aziz M. Osman terbitan Tayangan Unggul. Filem ini dibintangi oleh Amy Mastura yang memegang dua watak, Syakila dan Tasha. Dinamakan sempena tajuk album keempat Amy dengan judul sama yang dikeluarkan pada 2000, ia mengisahkan tentang kehidupan dunia artis.[2][3] Filem ini ditayangkan pada 25 Mac 2004.[4][5]
Sinopsis
Walaupun bergelar penyanyi terkenal, Syakila tidak berpuas hati kerana belum dapat mengatasi populariti penyanyi Jelly. Lagu-lagu nyanyian Jelly mengatasi lagu nyanyian Syakila dalam carta lagu top ten. Sikap ego dan tidak berdisiplin Syakila sering mendatangkan masalah pada Tasya, pengurus Syakila. Tasya terpaksa mengatasi dan menutup kelemahan Syakila untuk tidak menjejaskan kedudukkannya sebagai penyanyi kesayangan. Satu ketika Jun, seorang penggubah, dipertanggungjawab menyiapkan sebuah lagu untuk Syakila. Malangnya Syakila enggan bekerjasama sedangkan Jun perlu menyerahkan pita lagu pada penerbit album Fazli secepat mungkin. Untuk mengatasi kebuntuan, Jun terpaksa merakamkan lagu mengunakan suara Tasya. Sebaik saja mendengar rakaman demo, Fazli mengarahkan anak buahnya mengedarkan lagu terbaru Jun itu (berjudul Sesedang) serta merta. Jun tidak berkesempatan memberitahu lagu tersebut sebenarnya adalah nyanyian Tasya, bukan Syakila. Lagu Sesedang berjaya memasuki carta lagu popular dan akhirnya mengatasi lagu nyanyian Jelly. Anehnya Syakila sendiri percaya lagu Sesedang adalah hasil rakaman suaranya. Fazli mengarahkan Tasya mengatur promosi road tour ke seluruh Malaysia untuk Syakila. Walau dalam dilema, Tasya cuba mengatur strategi agar pembohongan tidak terbongkar.
Sepanjang pertunjukkan promosi, Syakila mengunakan teknik suara latar (tanpa perlu menyanyi secara langsung). Road tour 'Sesedang' turut disertai seorang wartawan hiburan bernama Izad. Syakila mengambil kesempatan untuk memikat Izad. Di dalam salah satu acara promosi, Syakila telah dikerumuni para peminatnya yang fanatik. Syakila menyalahkan pengurusan Tasya yang tidak menyediakan bodyguard untuk mengawal keselamatannya. Izad membantu dengan menawarkan anak-anak buahnya (kumpulan Spider) untuk menjadi bodyguard Syakila. Mulai detik itu, road tour 'Sesedang' berjalan lancar dan terkawal. Hubungan Izad dan Tasya juga menjadi semakin mesra. Syakila cemburu dengan keintiman mereka dan mahu pastikan Tasya tersingkir dari road tournya.
Amy diberikan dua peranan, iaitu Syakila dan Tasha; beliau juga berkhidmat sebagai penulis cerita.[9] Kumpulan rock Spider, yang sebelum ini membintangi telefilem Gosok memegang peranan penjual burger.[10][11] Penyanyi Anuar Zain, memegang watak Izad, seorang wartawan hiburan; Bintang Hati merupakan filem keduanya selepas Soal Hati (2001).[12]Jaafar Onn memegang watak Fazli, seorang pengurus studio. Beliau mengatakan seronok berada di lokasi penggambaran kerana Aziz bertimbang rasa dan memahami kehendak barisan pelakon.[13] Pelakon lain termausk Saiful Apek, Fasha Sandha dan Umie Aida serta penampilan khas daripada Erma Fatima. Lagu "Sesedang" diterbitkan khas untuk filem ini, namun tidak dimuatkan dalam album Bintang Hati. Penggambaran dijalankan selama dua bulan bermula 20 Januari 2003 sehingga 13 Mac 2003.[14][15][16]
Keluaran dan sambutan
Bintang Hati dikeluarkan pada 25 Mac 2004[17][18] hingga kejayaan komersial.[19]
Akmal Abdullah dari Berita Harian menulis bahawa Bintang Hati "boleh digolongkan sebagai karya komersial yang menggunakan pendekatan popular dari segi tema, olahan, konsep dan bentuk lakonan".[2]