Share to: share facebook share twitter share wa share telegram print page

Black Power

Logo Black Power

Black Power merupakan sebuah slogan politik dan juga ideologi yang memperjuangkan hak asasi masyarakat keturunan Afrika yang sudah lama ditindas di Amerika Syarikat.[1] Slogan yang sering digunakan pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an ini menekankan rasa bangga diri dalam kalangan masyarakat Afrika Amerika serta mencetus semangat memperjuangkan pembelaan diri mendapatkan layanan seadilnya termasuk menubuhkan institusi politik dan kebudayaan yang membela kepentingan masyarakat ini.[2][3]

"Black Power" merupakan simbol mempertahankan diri daripada penindasan ras, institusi yang membela hak masyarakat kulit hitam dan juga perekonomian yang boleh berdiri sendiri.

Asal usul sebagai slogan politik

Istilah ini digunakan buat pertama kali pada 1954 dalam sebuah buku yang bertajuk Black Power karangan Richard Wright.[4]Adam Clayton Powell Jr., seorang ahli politik dari New York menggunakan kekata itu pada 29 Mei 1966 dalam sebuah ucapan di Universiti Howard: "To demand these God-given rights is to seek black power" ("Meminta hak yang sememangnya anugerah Tuhan ini ialah untuk memperjuangkan kuasa kulit hitam")[4]

Penggunaan istilah "Black Power" sebagai slogan politik dan perkauman diterajui oleh Stokely Carmichael dan Willie Ricks, kedua-duanya penganjur dan jurucakap jawatankuasa Student Nonviolent Coordinating Committee (SNCC). Pada 16 Jun 1966, dalam sebuah ucapan di Greenwood, Mississippi, setelah insiden penembakan James Meredith semasa peristiwa March Against Fear (Berarak Menentang Ketakutan), Stokely Carmichael berkata:[5][6]

This is the twenty-seventh time I have been arrested and I ain't going to jail no more! The only way we gonna stop them white men from whuppin' us is to take over. What we gonna start sayin' now is Black Power!

["Ini merupakan kali ke-27 saya ditangkap [polis] dan saya tidak ingin lagi dipenjara! Cara untuk kita menghindarkan orang kulit putih daripada menindas kita sekali lagi ialah untuk mengambil alih (kuasa terhadap diri sendiri). Apa yang kita ingin katakan mulai sekarang ialah bahawa orang kulit hitam ada kuasa!"]


Stokely Carmichael melihat konsep "Black Power" ini sebagai salah satu wadah untuk menyatukan masyarakat kulit hitam dalam gerakan ini. Slogan ini merupakan pengganti kekata "Freedom Now!" ("Kebebasan Sekarang!") yang dicipta oleh ketua kulit hitam tanpa kekerasan pada masa itu, Martin Luther King. Carmichael berasa bahawa gerakan "Black Power" ini bukan hanya satu langkah untuk menghapuskan pengasingan kaum di negara itu tetapi juga untuk menidakkan kesan perkauman masyarakat kulit putih Amerika yang mereka anggap telah melemahkan masyarakat mereka. Katanya, "'Black Power' bermakna orang kulit hitam bergabung bersama untuk menubuhkan sebuah kuasa politik dengan melantik wakil daripada kaum mereka sendiri ataupun memaksa ahli politik yang mereka lantik untuk memperjuangkan nasib mereka." [7]

Rangkuman beberapa ideologi

Pengikut aliran 'Black Power' ini percaya kepada kuasa autonomi kulit hitam yang terangkum dalam beberapa idelogi seperti nasionalisme kulit hitam, penentuan nasib sendiri kulit hitam dan pemisahan kulit hitam. Fahaman-fahaman ini bercanggah dengan aliran utama gerakan hak awam yang tidak tegar pada masa itu. Ketua-ketua Civil Rights Movement pada masa itu mempelopori taktik-taktik yang lebih pasif dan aman manakala taktik-taktik gerakan Black Power ebih militan. Stokely Carmichael dan Charles V. Hamilton perbah berkata, "cara tanpa kekerasan merupakan hak yang tidak mampu dimiliki oleh masyarakat kulit hitam dan merupakan kemewahan yang tidak sepatutnya diberikan kepada orang kulit putih." [8] "Namun, banyak kumpulan dan individu - termasuk Rosa Parks,[9] Robert F. Williams, Maya Angelou, Gloria Richardson, dan Fay Bellamy Powell - terlibat dalam kedua-dua gerakan pada masa itu. Kebanyakan sarjana menganggap kedua-dua gerakan ini merupakan kesatuan gerakan yang lebih besar iaitu, Black Freedom Movement ataupun 'Gerakan Kebebasan Kulit Hitam'.[10][11][12]

Ramai penyokong Black Power menginginkan hak untuk menentukan nasib mereka sendiri kerana percaya bahawa hanya mereka sahaja yang layak untuk mengetuai pertubuhan mereka sendiri. Stokely Carmichael, penyokong kuat fahaman ini pernah mengatakan, "hanya orang kulit hitam sahaja yang dapat menyampaikan idea yang revolusioner ini -- dan ini jelas merupakan sebuah idea yang revolusioner -- bahawa orang kulit hitam mampu untuk melakukan sesuatu sendiri" [13] Namun, hal ini tidak bermakna Black Power menerajui idea pemisahan kaum atau bersifat perkauman kerana Stokely dan Charles V. Hamilton pernah menulis, "bahawa ada peranan-peranan yang pasti boleh dimainkan oleh orang kulit putih."[14] Mereka merasakan orang kulit putih boleh berkhidmat dalam gerakan Black Power dengan mendidik masyarakat mereka sendiri.

Bukan semua penyokong Black Power menyokong idea pemisahan kaum terutama sekali parti Black Panther Party for Self-Defense. Walaupun parti ini menganggap diri mereka sedang berperang dengan puak pelampau kulit putih, mereka tidak merasakan bahawa mereka sedang berperang dengan semua individu kulit putih.

Bobby Seale, pengerusi dan salah satu pengasas parti ini bersifat terus terang mengenai isu ini. Pendiriannya ialah penindasan masyarakat kulit hitam bukan disebabkan oleh sifat perkauman tetapi akibat eksploitasi tenaga buruh kulit hitam untuk memajukan ekonomi orang putih. Dalam bukunya yang bertajuk, Seize the Time, beliau menyatakan, "Menurut pandangan kami, ia sebenarnya merupakan perjuangan kelas di antara golongan proletariat dengan golongan memerintah yang minoriti. Golongan pekerja daripada pelbagai kaum harus bersatu untuk menentang kelas pemerintah yang mengeksplotasi mereka. Oleh itu, ingin saya tekankan bahawa perjuangan kami bukan perjuangan tentang kaum tetapi perjuangan kelas."[15]

Latar belakang

Konsep Black Power ini timbul semasa era Gerakan Hak Awam Amerika pada awal tahun 1960-an. Pada 1959, Robert F. Willams, presiden cawangan pertubuhan National Association for the Advancement of Colored People (NAACP) di bandar Monroe, North Carolina, mempersoalkan dasar tanpa kerasan gerakan tersebut. Gagasan beliau mendapat sokongan daripada ketua-ketua utama gerakan tersebut seperti Ella Baker dan James Forman, dan dibantah oleh Roy Wilkins, pengerusi nasional NAACP dan juga Martin Luther King.[16] Pada 1961, Maya Angelou, Leroi Jones, dan Mae Mallory mengetuai aksi tunjuk perasaan di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bagi membantah pembunuhan Patrice Lumumba.[17][18] Malcolm X, seorang wakil daripada pertubuhan Nation of Islam juga merupakan pengkritik utama gerakan aman tersebut. Namun, Malcolm X meninggalkan Nation of Islam setelah berasa kecewa dengan sikap melampau sesetengah pengikutnya yang terlibat dalam kejadian Pengeboman Gereja Baptis 16th Street. Malcolm kemudian bergabung dengan gerakan utama hak awam pada masa itu. Beliau kini percaya kepada konsep bersatu padu dengan masyarakat kulit putih sebagai matlamat jangka panjang namun masih menyokong hak orangnya untuk mempertahankan diri mereka menggunakan senjata, tidak mengharapkan bantuan orang kulit putih, dan berpegang teguh kepada konsep nasionalisme kulit hitam.

Manifestasi awal ‘’Black Power’’ dalam pemikiran umum seharian timbul sewaktu persembahan Nina Simone di Carnegie Hall pada Mac 1964. Dalam sebuah lagunya, “Go Limp“, Simone mencemuh gerakan tanpa kekerasan dan juga puak pelampau kulit putih dalam lagunya , "Mississippi Goddamn" dan "Pirate Jenny". Pakar sejarah, Ruth Feldstein, mengatakan bahawa fahaman nasionalisme kulit hitam dan ‘’Black Power’’ ini berputik dan berkembang sejak awal tahun 1960-an lagi.[19] Namun, fahaman tegar ini mendapat bantahan keras daripada aktivitis-aktivitis seperti Martin Luther King, Jr. dan Roy Wilkins dan menolak aspirasi untuk hidup berpisah sebagai matlamat utama. King menolak secara keras fahaman ‘’Black Power’’ ini dalam sebuah ucapan yang diberikan pada Ogos 1967: "Let us be dissatisfied until that day when nobody will shout 'White Power!' — when nobody will shout 'Black Power!' — but everybody will talk about God's power and human power." (“Marilah kita berasa tidak puas hati sehingga tiba suatu masa di mana orang tidak akan lagi berteriak, ‘White Power!’ atau ‘Black Power!’ tetapi akan bercakap tentang ‘Kuasa Tuhan’ dan ‘Kuasa Manusia.”)[20] Dalam bukunya yang bertajuk, Where Do We Go from Here: Chaos or Community?, King mengatakan:

In the final analysis the weakness of Black Power is its failure to see that the black man needs the white man and the white man needs the black man. However much we may try to romanticize the slogan, there is no separate black path to power and fulfillment that does not intersect white paths, and there is no separate white path to power and fulfillment, short of social disaster, that does not share that power with black aspirations for freedom and human dignity. We are bound together in a single garment of destiny. The language, the cultural patterns, the music, the material prosperity, and even the food of America are an amalgam of black and white.[21]

["Kelemahan Black Power ialah kegagalannya untuk menyedari bahawa orang kulit hitam memerlukan orang kulit putih dan sebaliknya. Tiada laluan asing yang tersedia hanya untuk orang kulit hitam tanpa menyilangi laluan orang kulit putih dan sebaliknya. Nasib dan masa depan orang kulit hitam dan putih terikat. Bahasa, budaya, muzik, kekayaan dan juga makanan di Amerika [Syarikat] merupakan penyatupaduan warga-warga kulit hitam dan putih."]

Kesan

Fahaman Black Power ini berjaya melahirkan berbagai-bagai inisiatif dalam masyarakat kulit hitam; daripada golongan peniaga yang meminta orang kulit hitam untuk berjual beli dengan orang mereka sendiri kepada pihak revolusionari yang ingin menghapuskan sistem kapitalisme. Tidak dapat dinafikan bahawa Black Power mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat kulit hitam. Misalnya dengan penubuhan badan-badan bantu diri yang tidak lagi bergantung kepada bantuan orang kulit putih. Gerakan ini juga berjaya memaksa kolej dan universiti di Amerika untuk menawarkan program pengajian orang kulit hitam, menggalak pengundi kulit hitam untuk mengundi calon mereka sendiri serta menaikkan rasa bangga terhadap diri masing-masing.

Salah satu aksi tunjuk perasaan Black Power yang terkenal berlaku sewaktu acara Olimpik Musim Panas 1968 di Mexico City dalam sebuah upacara penyampaian pingat. Pemenang pingat emas untuk acara lari 200 meter, Tommie Smith dan pemenang pingat gangsa, John Carlos telah memakai lencana Olympic Project for Human Rights (OPHR) dan mengangkat tangan mereka yang digenggam (tabik Black Power) semasa lagu kebangsaan Amerika Syarikat dimainkan. Peter Norman, seorang atlet kulit putih dari Australia yang memenangi pingat perak dalam acara yang sama juga menyertai aksi tunjuk perasaan ini dengan memakai lencana OPHR pada jaketnya.

Kesan terhadap arena politik kulit hitam

Walaupun gerakan Black Power tidak menyelesaikan masalah politik yang dialami masyarakat kulit hitam pada tahun 1960-an dan 1970-an, gerakan ini telah menimbulkan kesedaran politik di kalangan orang kulit hitam di Amerika.

Konvensi National Black Political Convention yang berlangsung dari 10–12 Mac 1972 merupakan peristiwa penting dalam membangkitkan hal ini. Acara yang dianjurkan di Gary, Indiana ini unik kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil daripada masyarakat kulit putih. Perkara ini dikritik oleh Roy Wilkins daripada pertubuhan NAACP yang memperjuangkan integrasi. Persidangan ini telah mencapai kata putus dalam beberapa perkara, antaranya, kepentingan melantik wakil-wakil kulit hitam ke Dewan Kongres, mengawal pentadbiran sekolah, insurans kesihatan nasional dan sebagainya. Walaupun agenda mereka tidak menyebabkan sebarang perubahan dasar negara pada masa itu, ia berjaya melahirkan semangat untuk menentukan nasib mereka sendiri.

"Hitam itu cantik"

"Hitam itu cantik" atau "Black is Beautiful" merupakan sebuah gerakan budaya yang ingin melenyapkan tanggapan bahawa raut muka orang kulit hitam dan warna kulitnya merupakan sesuatu yang menjijikkan.[22] John Sweat Rock ialah orang pertama yang melahirkan ungkapan "Black is Beautiful" semasa era pengabdian orang kulit hitam di Amerika. Gerakan ini meminta supaya orang lelaki dan wanita kulit hitam menghentikan perbuatan meluruskan rambut atau mencerahkan kulit mereka.[23] Hal ini berlaku kerana tanggapan kolot di Amerika yang menganggap raut wajah orang kulit hitam itu kurang menarik berbanding paras rupa yang dimiliki seorang kulit putih. Gerakan ini juga berjaya menjadikan "Afro" sebagai stail rambut yang popular di kalangan masyarakat kulit hitam di sana.

Kesan terhadap seni dan budaya

Gerakan Black Power telah melahirkan produk seni dan kebudayaan yang merangkum semangat nasionalisme kulit hitam dan identiti kontemporari Afrika-Amerika. Selain menjadi revolusi politik, Black Power juga dilihat sebagai revolusi budaya yang ingin mengetengahkan keunikan budaya Afrika-Amerika kepada masyarakat Amerika yang didominasi oleh masyarakat kulit putih. Black Power menggunakan wadah puisi, prosa dan drama untuk mencapai tahap penghakikian diri masyarakat mereka di Amerika.[24] Penekanan terhadap budaya kulit hitam yang distingtif dilakukan dengan tujuan untuk mengetengahkan jurang perbezaan budaya yang wujud di antara masyarakat kulit putih dan hitam yang selama ini sering diperlekehkan. Pada umumnya, gerakan ini berjaya melawan ketuanan budaya orang putih dan membuka jalan kepada kerencaman budaya di negara Amerika hari ini.

Konsep "soul" (jiwa) yang dipelopori gerakan Black Power ini tercetus daripada keinginan orang kulit hitam untuk membina jati diri mereka sendiri.[25] Cara meluahkan konsep penjiwaan (soulfulness) ini ialah dengan menunjukkan rasa kurang berminat atau menyendiri terhadap tampuk kuasa yang wujud di dalam masyarakat. Luahan ini juga ditonjolkan melalui postur dan cara bersalaman yang berbeza daripada cara orang putih. Cara berpakaian juga merupakan sesuatu yang sengaja dibezakan dan menjadi ekspresi Black Power pada tahun 1960-an dan 70-an. Gerakan ini berjaya memberi definisi kecantikan untuk orang kulit hitam dalam sebuah masyarakat yang banyak terpengaruh oleh standard orang putih. Seperti yang diungkapkan oleh Stokely Carmichael pada tahun 1966, "Kita harus berhenti malu menjadi orang kulit hitam. Hidung yang kembang, bibir yang tebal dan rambut yang kerinting ialah identiti kita dan dianggap cantik walaupun mereka (orang putih) menyukainya atau tidak." [26] Stail rambut "Afro" digayakan sebagai lambang kesatuan dan menjadi kebanggaan masyarakat itu. Walaupun perkara ini tidak lagi mempunyai pengaruh yang besar terhadap gaya dan fesyen masyarakat kulit hitam hari ini, ia berjaya melahirkan standard kecantikan yang lebih rencam di negara itu.[27]

Selain aspek pakaian, gerakan Black Power juga mempengaruhi makanan masyarakat kulit hitam. Konsep yang digelar "soul food" ini menonjolkan cara masakan yang autentik dan natural dari Afrika. Antara makanan yang sinonim dengan soul food termasuk ubi, sayur kailan dan ayam goreng.

Gerakan Seni Kulit Hitam

The Black Arts Movement (BAM) atau Gerakan Seni Kulit Hitam ditubuhkan di Harlem oleh aktivis dan penulis, Amiri Baraka, dan dilihat sebagai cabang kesenian Black Power.[28] Gerakan ini berjaya menimbulkan inspirasi dalam kalangan orang kulit hitam untuk menubuhkan syarikat penerbitan mereka sendiri, majalah, jurnal dan juga institusi-institusi seni. Penulis-penulis terkenal yang terlibat dalam gerakan ini termasuk Nikki Giovanni, Haki Madhubuti, Sonia Sanchez, dan Maya Angelou. Syarikat-syarikat penerbitan yang terkenal termasuk Third World Press, Broadside Press, dan Energy Black South Press.

Gerakan BAM berura-ura untuk menggabung jalinkan seni dan politik untuk membantu "membebaskan orang kulit hitam".[29] Tema yang sering diketengahkan dalam seni gerakan ini termasuk kesatuan bangsa, pemerkasaan orang kulit hitam dan kebebasan.[30]

Pensyair dan novelis, Ishmael Reed, mengatakan:

Saya berasa apa yang gerakan ini telah lakukan ialah membangkitkan semangat menulis di kalangan orang kulit hitam. Selain itu, tidak akan adanya kerencaman budaya tanpa gerakan ini. Orang Latino dan Asia-Amerika mula berani menulis setelah lahirnya gerakan ini pada tahun 1960-an. Masyarakat kulit hitam menjadi contoh bahawa seseorang itu tidak perlu berasimilasi. Seseorang itu hanya perlu melakukan halnya sendiri sambil meneroka latar belakang, sejarah, tradisi dan budayanya. Saya berasa cabarannya ialah untuk mendaulatkan budaya sendiri dan Gerakan Seni Kulit Hitam menjadi perintis dalam hal ini.[31]

Gerakan ini berjaya melahirkan ramai artis yang terkenal. Menurut William L. Van Deburg, era Black Power ini telah membuka peluang yang seluas-luasnya kepada masyarakat kulit hitam untuk berkecimpung dalam industri kesenian yang selama ini dikuasai oleh orang kulit putih.[32]

Rujukan

  1. ^ Scott, James. Wilson. (1976). The black revolts: racial stratification in the U.S.A. : the politics of estate, caste, and class in the American society. Cambridge, Mass: Schenkman Pub.
  2. ^ Ogbar, J. O. G. (2005). Black Power: radical politics and African American identity. Reconfiguring American political history. Baltimore, Maryland: Johns Hopkins University Press, p. 2.
  3. ^ Appiah, Anthony, & Henry Louis Gates Jr. (1999). Africana: The Encyclopedia of the African and African American Experience. New York: Basic Civitas Books, p. 262.
  4. ^ a b Yale Book of Quotations (2006), Yale University Press, edited by Fred R. Shapiro.
  5. ^ Hasan Jeffries (2010). Bloody Lowndes: Civil Rights and Black Power in Alabama's Black Belt. NYU Press. m/s. 187.
  6. ^ "Matthew Duncan':Black Power salute by John Dominis-1968."matthewduncan07 The Chateau Theme, 7 November 2013. Web. 7 November 2013
  7. ^ "Stokely Carmichael", King Encyclopedia, The Martin Luther King, Jr. Research and Education Institute, Stanford University. Accessed 20 November 2006.
  8. ^ Ture, Kwame; Hamilton, Charles (1967). Black Power: The Politics of Liberation. Random House. m/s. 53. ISBN 0679743138.
  9. ^ Jeanne Theoharis, "'I Don't Believe in Gradualism': Rosa Parks and the Black Power Movement in Detroit". Paper presented at the annual meeting of the 96th Annual Convention of the Association for the Study of African-American Life and History.
  10. ^ Clayborne Carson, "Black Freedom Movement".
  11. ^ Premilla Nadasen, "The Black Freedom Movement" Diarkibkan Disember 4, 2014, di Wayback Machine, City University of New York.
  12. ^ Barbara Ransby, Ella Baker and the Black Freedom Movement (University of North Carolina Press, 2003).
  13. ^ Ture, Kwame (1967). Black Power: The Politics of Liberation. New York: Vintage Books. m/s. 46. ISBN 0-679-74313-8.
  14. ^ Kwame, Ture; Hamilton, Charles (1967). Black Power: The Politics of Liberation. New York: Random House. m/s. 81. ISBN 0-679-74313-8.
  15. ^ Seale, Bobby. Seize the Time: The Story of the Black Panther Party and Huey P. Newton. New York: Black Classic Press, 1996, p. 72.
  16. ^ Timothy B. Tyson, "Robert F. Williams, 'Black Power,' and the Roots of the African American Freedom Struggle", Journal of American History 85, No. 2 (September 1998): 540-570.
  17. ^ Peniel Joseph, ed., Black Power Movement: Rethinking the Civil Rights-Black Power Era (Routledge, 2013), pp. 55–61.
  18. ^ James Baldwin, "A Negro Assays the Negro Mood" The New York Times Magazine, March 12, 1961
  19. ^ Ruth Feldstein, "Nina Simone: The Antidote to the 'We Shall Overcome' Myth of the Civil Rights Movement", History News Network (George Mason University).
  20. ^ King, Martin Luther (August 16, 1967). Address to the Southern Christian Leadership Conference. Stanford. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-03-11. Dicapai pada 2016-11-24.
  21. ^ King, Martin Luther (1967). Where Do We Go from Here: Chaos or Community?.
  22. ^ Some notes on the BLACK CULTURAL MOVEMENT Diarkibkan Disember 20, 2007, di Wayback Machine
  23. ^ Jamaica Says Black Is Beautiful
  24. ^ Van DeBurg, New Day in Babylon (1992), p. 192.
  25. ^ Van DeBurg, New Day in Babylon (1992), p. 195.
  26. ^ Van DeBurg, New Day in Babylon (1992), p. 201.
  27. ^ Van DeBurg, New Day in Babylon (1992), p. 194.
  28. ^ The Black Arts Repertory Theatre/School Diarkibkan November 12, 1999, di Wayback Machine
  29. ^ Joseph, Waiting 'til the Midnight Hour (2006), p. 256.
  30. ^ Van DeBurg, New Day in Babylon (1992), p. 280.
  31. ^ Black Arts Movement
  32. ^ Van DeBurg, New Day in Babylon (1992), p. 308.

Bacaan lanjut

  • Breitman, George. In Defense of Black Power. International Socialist Review, January–February 1967. Transcription by Andrew Pollack for the Encyclopaedia of Trotskyism On-Line.
  • Brown, Scot, Fighting for US: Maulana Karenga, the US Organization, and Black Cultural Nationalism, New York: New York University Press, 2003.
  • Carmichael, Stokely/ Hamilton, Charles V., and Ture, Kwame: Black Power. The Politics of Liberation in America. New York: Vintage Books, 1967.
  • Goldstein, Brian D., "'The Search for New Forms': Black Power and the Making of the Postmodern City," Journal of American History, vol. 102, no. 2 (Sept. 2016), pp. 375-399.
  • Ogbar, Jeffrey O. G. Black Power: Radical Politics and African American Identity. Baltimore, MD: Johns Hopkins University Press, 2004.
  • Salas, Mario Marcel. Patterns of Persistence: Paternal Colonialist Structures and the Radical Opposition in the African American Community in San Antonio, 1937–2001. Masters' thesis. University of Texas at San Antonio.
Kembali kehalaman sebelumnya