Semporna merupakan sebuah daerah di Bahagian Tawau, tenggara negeri Sabah, Malaysia. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Pekan Semporna. Kebanyakan penduduk daerah Semporna merupakan masyarakat berbangsa Bajau, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan sub-etnik termasuklah Bajau Kubang, Omadal, Ubian dan Simunul.
Etimologi
Nama Semporna berasal daripada perkataan Simporna yang bermaksud 'tempat untuk berehat' atau 'tempat yang tenang'. Nama Simporna ini diberi oleh seorang Gabenor Inggeris, iaitu W.M Crocker apabila beliau dan beberapa orang rakannya termasuklah seorang pedagang China yang bernama Toonah menemui daerah tersebut pada pertengahan tahun 1887.
Semporna dahulunya dikenali sebagai Tong Talun yang bererti 'hujung hutan' dalam Bahasa Bajau. Nama Tong Talun ini diberi oleh masyarakat Bajau Kubang yang merupakan suku kaum utama di kawasan Semporna.[2]
Pentadbiran
Daerah Semporna berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Semporna yang berpusat di Pekan Semporna. Daerah Semporna juga dibahagikan kepada 13 buah mukim;
Mukim Bum-Bum Selatan
Mukim Bum-Bum Utara
Mukim Denawan
Mukim Lihak-Lihak
Mukim Pegagau
Mukim Pulau
Mukim Semporna Bandar 1
Mukim Semporna Bandar 2
Mukim Simunul
Mukim Sisipan
Mukim Sulabayan
Mukim Tagasan
Mukim Tampi-Tampi
Geografi
Daerah Semporna terletak di tenggara Bahagian Tawau, negeri Sabah, bersempadan dengan;
Bentuk muka bumi Daerah Semporna ialah sedikit berbukit di kawasan daratannya manakala kawasan pesisir pantai pula merupakan kawasan tanah rendah yang dikelilingi oleh lautan dan kepulauan kecil. Titik tertinggi di Daerah Semporna ialah Gunung Tannabalu yang mencapai ketinggian 620 meter dan Sungai terpanjang pula adalah Sungai Pegagau. Daerah Semporna juga dikelilingi dengan 49 buah pulau. Pulau yang terbesar adalah Pulau Timbun Mata.
Demografi
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Semporna ialah seramai 166,587 orang dengan kepadatan penduduk 140 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat.[3] Majoriti penduduk di daerah Semporna merupakan Bumiputera termasuklah etnik Bajau, Suluk dan Melayu.[4][1]
Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[3]
Di daerah Semporna, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 70 peratus diikuti agama Kristian sebanyak 26 peratus dan Agama Buddha sebanyak tiga peratus. Agama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[1]
Pecahan agama di Semporna (2020)
Agama
Jumlah penduduk
Islam
161,797
Kristian
2,084
Tidak beragama
1,882
Buddha
663
Hindu
86
Lain-lain
74
Kemudahan
Daerah Semporna dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam di sekitar daerah. Terdapat 41 buah sekolah rendah, sembilan buah sekolah menengah, tujuh buah balai polis, sebuah balai bomba, satu hospital kerajaan, dua buah klinik kesihatan, satu klinik komuniti dan lapan klinik desa di sekitar daerah.
Budaya
Makanan tradisional masyarakat Bajau di Semporna termasuklah seperti Sagul, Putu Ubi, Egang, Kima, Latok, Tayum, dan Tehek-Tehek. Semporna juga terkenal sebagai tuan rumah acara lumba dayung Regatta Lepa (lumba perahu kecil) yang dijalankan pada April setiap tahun dan juga tarian tradisional masyarakat Bajau iaitu tarian Igal-Ιgal, Βolak-Βolak dan Ďaling-Ďaling masyarakat Βajau di daerah ini