Pada 1837, rupee India dijadikan mata wang rasmi yang tunggal di Negeri-negeri Selat kerana ia ditadbirkan sebagai sebahagian India. Bagaimanapun, dolar Sepanyol terus diedarkan. Pada 1845, mata wang Negeri-negeri Selat diperkenalkan, dengan dolar Selat sama nilainya dengan dolar Sepanyol atau peso Mexico, dan 100 cent = 1 dolar. Dolar kemudian menjadi mata wang piawai pada tahun 1867 apabila pentadbiran Negeri-negeri Selat dipisahkan dari India.
Sejak 1898, dolar Selat dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang yang baharu dan bank-bank swasta tidak lagi dibenarkan mengeluarkan nota-nota. Nilainya menyusut sepanjang lapan tahun yang berikut and kemudian ditetapkan pada nilai dua syiling empat penisterling pada 1906.
Dolar Selat digantikan dengan dolar Malaya pada nilai yang sama pada 1939. Sehingga hari ini, Brunei dan Singapura masih menggunakan pengganti unit ini, tetapi Malaysia mengamalkan sistem sendiri pada tahun 1973.
Duit syiling
Duit syiling pertama yang dikeluarkan untuk Negeri-negeri Selat pada 1845 ialah jenis mata wang ¼, ½ and 1 sen yang diperbuat daripada tembaga. Duit itu yang dikeluarkan oleh Syarikat Hindia Timur tidak menunjukkan di mana wang itu akan digunakan. Bagaimanapun, jenis mata wang yang sama yang dikeluarkan buat kali kedua oleh kerajaan India British pada 1862 mempunyai inskripsi "India - Selat".
Pada 1871, duit syiling perak dikeluarkan atas nama Negeri-negeri Selat untuk jenis mata wang 5, 10, dan 20 sen, diikuti oleh duit syiling tembaga ¼, ½, and 1 pada 1872 dan duit syiling perak 50 sen pada 1886. Dolar perak juga ditempa buat pertama kali pada 1903.
Terbitan khas 3-halaman Warta Kerajaan Negeri-negeri Selat yang dikeluarkan di Singapura pada 24 Ogos 1904 mengandungi perisytiharan yang berikut oleh Gabenor ketika itu, Sir John Anderson:
Dari 31 Ogos 1904, Dolar British, Mexico dan Hong Kong tidak lagi akan merupakan wang sah dan akan digantikan dengan Dolar Negeri-negeri Selat yang baru diperkenalkan.
Tujuan tindakan itu adalah untuk mewujudkan suatu nilai pertukaran untuk Dolar Selat baharu yang berasingan daripada dolar-dolar perak yang lain yang diedarkan di kawasan Negeri-negeri Selat, khususnya dolar perdagangan British. Matlamatnya adalah bahawa apabila nilai pertukaran menyimpang dengan ketara daripada nilai dolar-dolar perak yang lain, pihak berkuasa akan menetapkan nilainya berdasarkan wang sterling pada nilai itu dan dengan itu, memasukkan Negeri-negeri Selat ke dalam piawai pertukaran emas. Penetapan itu akhirnya berlaku apabila Dolar Selat mencecah nilai wang sterling sebanyak dua syiling dan empat peni (2s 4d).
Dalam tempoh beberapa tahun, nilai perak naik dengan begitu pesat sehingga nilainya di dalam duit syiling dolar Selat melebihi nilai pertukaran emasnya. Untuk mencegah dolar-dolar itu dileburkan, dolar baharu yang lebih kecil dikeluarkan pada 1907 dengan kandungan peraknya dikurangkan. (Keadaan yang sama berlaku di Filipina pada waktu yang sama.) Duit syiliing ¼ sen yang terakhir dikeluarkan pada 1916. Dolar ditempa buat kali yang terakhir pada 1920, dengan pengeluaran 50 sen dihentikan pada 1921. Bagaimanapun, duit-duit syiling yang lain masih dikeluarkan sehingga 1935.
Nota bank
Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang memperkenalkan nota dolar 5 dan 10 dolar pada 1898, diikuti oleh 50 dan 100 dolar pada 1901 serta 1-dolar pada 1906. Terbitan-terbitan kecemasan 10- dan 25-sen dibuat antara 1917 hingga 1920. Nota 1,000 dolar dikeluarkan pada 1930 tetapi pada dekad 1930-an, hanya nota 1, 5, dan 10-dolar dikeluarkan.
Terbitan kerajaan Negeri-negeri Selat (1899 - 1942)
Kerajaan Negeri-negeri Selat mula-mulanya diberi kuasa untuk mengeluaran nota-nota mata wang menerusi Ordinans VIII 1897 yang berkuatkuasa pada 31 Ogos1898. Nota-nota itu, walaupun bertarikh 1 September1898 tidak dikeluarkan kepada khalayak sehingga 1 Mei1899. Kedua-dua Chartered Bank dan Hong Kong and Shanghai Bank masih mengeluarkan nota bank yang diedarkan bersama-sama mata wang yang rasmi. Semua nota boleh ditukarkan secara bebas dengan dolar Mexico atau pelbagai duit syiling perak yang lain yang merupakan wang sah di Tanah Jajahan.
Raja Edward VII naik takhta pada Januari 1901 dan mengeluarkan siri mata wang baharu yang bertarikh 1 Februari1901, dicetak oleh Thomas de la Rue & Co. Ltd. dari London. Oleh sebab saiz dan reka bentuk nota 5 dan 10 dolar terbitan dahulu hampir sama, saiz nota 5 dolar kini dikurangkan untuk memudahkan pembezaan.
Pada 1903, duit syiling perak satu dolar ditempa semata-mata untuk Negeri-negeri Selat, dengan ini kemudian menjadi unit nilai piawai. Semua duit syiling dolar perak yang lain dalam edaran dinyahwangkan pada 1904. Tidak lama kemudian, kenaikan harga perak yang tinggi memaksa kerajaan menarik balik dolar Selat terbitan pertama itu dan menggantikannya dengan duit syiling yang mengandungi kurang logam perak.
Dalam tempoh pertukaran, ketakutan kekurangan duit syiling menyebabkan pengenalan nota satu dolar yang kadar pertukarannya ditetapkan pada logam emas, berbanding dengan logam perak. Untuk menguatkuasakan itu, duit syiling emas raja British diisytiharkan sebagai wang sah buat pertama kali, dan dolar Selat diberikan nilai sembarangan sebanyak dua syiling dan empat peni. Nota dolar itu terbukti amat popular dan oleh itu, dikekalkan untuk terbitan-terbitan yang berikut sehingga ia memenuhi sebahagian besar keperluan untuk duit syiling perak. Menjelang 1906, mata wang rasmi dalam edaran naik sehingga $21,866,142, manakala mata wang yang dikeluarkan oleh bank-bank swasta jatuh sehingga $1,329,052.[1]
Semasa pemerintahan Raja George V, jenis mata wang diperluas sehingga 1,000 dolar demi memudahkan urus niaga penjelasan antara bank. Pada 1915, keputusan diambil untuk mengubah sama sekali reka bentuk nota 50, 100, dan 1,000 dolar. Jenis-jenis mata wang itu yang dicetak oleh Thomas de la Rue masing-masing dikeluarkan buat pertama kali pada Februari 1920, Oktober 1919, dan Mei 1917. Nota 10,000 dolar kemudian dikeluarkan buat pertama kali pada Oktober 1922 hanya untuk kegunaan pindahan antara bank dan tidak diedarkan kepada khalayak.
Antara 27,000,000 nota satu dolar dan 5,600,000 nota lima dolar dalam siri yang sama yang dihantar ke Tanah Melayu sebelum serangan Jepun, 25,800,000 nota satu dolar dan 5,000,000 nota lima dolar tiba di Tanah Melayu dengan selamat. Antara yang tidak tiba, 700,000 nota satu dolar dan 500,000 nota lima dolar dirampas oleh tentera Jerman ketika kapal SS Automedon ditawan, dengan 500,000 nota satu dolar dan 100,000 nota lima dolar yang lain hilang apabila kapal SS Eumanes tenggelam. Tiada sebarang nota tersebut pernah diedarkan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat dan semasa serangan Jepun, nota-nota itu masih disimpan di dalam bilik kebal perbendaharaan di Singapura dan Pulau Pinang. Semua nota tersebut ditandatangani oleh L.G. Corney, Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang.
Ketika tentera British berundur dari Pulau Pinang pada Disember 1941, 600,000 nota satu dolar dan 100,000 nota lima dolar ditinggalkan dalam perbendaharaan dan kemudian jatuh ke dalam tangan Jepun. Di Singapura, 4,200,000 nota satu dolar dan 1,000,000 nota lima dolar dimusnahkan, dengan 21,000,000 nota satu dolar dan 3,900,000 nota lima dolar dihantar ke India atas alasan keselamatan.
Apabila askar-askar British menduduki semula Singapura pada September 1945, mereka menjumpai semua nota dalam siri itu yang ditinggalkan, kecuali satu ikatan seribu nota yang ditawan di Pulau Pinang daripada bilik kebal sub-perbendaharaan Jepun.
Semua stok mata wang dimusnahkan pada 1946 kerana ketakutan bahawa nota-nota dari kapal yang ditawan mungkin diserahkan oleh tentera Jepun kepada sekutu Jerman mereka dan disimpan sehingga bila-bila masa apabila nota-nota itu sah digunakan. Bagaimanapun, tidak terdapat sebarang bukti bahawa nota-nota itu pernah sampai di Tanah Melayu.
Pentadbiran Tentera British di Malaya (1945 - 1946)
Keputusan diambil bahawa duit pisang Jepun yang masih dalam edaran langsung tidak akan diakui dan justera itu, langsung tidak bernilai kerana semasa pendudukan Jepun selama tiga setengah tahun, pemerintahan tenteranya dianggarkan mengeluarkan sekurang-kurangnya 4,000 juta dolar, berbanding dengan edaran 220 juta dolar pada 1941.[2] Perkhidmatan pembayaran menyediakan nota-nota mata wang daripada 1 sen hingga 10,000 dolar yang telah dicetak di Britain, sama ada sebelum ataupun semasa pendudukan Jepun tetapi belum menghantar ke Tanah Melayu. Nota-nota 10-dolar yang dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Tanah Melayu pada 1940 serta nota-nota Negeri-negeri Selat yang lama, kecuali jenis mata wang 1,000 atau 10,000 dolar serta 10 dan 25 sen, diisytiharkan sebagai wang sah. Bagaimanapun, nota-nota tersebut ditarik balik secara beransur-ansur, sebaik sahaja terbitan-terbitan baharu mencukupi untuk memenuhi keperluan negara.