Gana[5] (Jawi: ڬانcode: ms is deprecated ) atau Ganesa (bahasa Sanskrit: गणेशcode: sa is deprecated Ganeśa (bantuan·maklumat), bahasa Jawa: ꦒꦤꦺꦯcode: jv is deprecated ; bahasa Inggeris: Ganesh) juga dikenali sebagai Ganapati, Vinayaka, dan Pillaiyar, merupakan salah satu dewa yang paling popular dalam Hinduisme.[6] Gambarannya didapati di seluruh benua India.[7] Hampir semua orang Hindu menyembahnya. Tidak ada kegiatan, sama ada sekular mahu pun agama yang akan dimulakan sebelum memuja dan menyembah Vinayaka. Ini adalah kerana Vinayaka merupakan Tuhan Halangan atau Vighneśvara atau Vighnarāja.
Asal-Usul
Memang ternyata bahawa Gaṇapati yang dirujuk dalam ayat-ayat popular Ṛgveda, 'gaṇānām tvā gaṇapatim havāmahe...' (2.23.1) dan 'niṣu sīda gaṇapate...' (10.112.9) dan Gaṇapati yang kini disembah ialah dua dewa yang berlainan. Namun, semua cendikiawan yang liberal bersetuju bahawa asas konsep Gaṇapati telah berada dalam Ṛgveda sendiri. Dalam kurun-kurun berikutnya, konsep ini telah melalui pelbagai perubahan dan perkembangan daripada epik dan Purāṇa untuk membentuk Gaṇapati yang wujud pada hari ini. Dalam semua masyarakat, perkembangan konsep Tuhan dan cara penyembahan-Nya telah dibentuk oleh faktor-faktor geografi, sejarah, kebudayaan serta pengalaman mistik dan kesedaran rohani orang-orang alim. Memang munasabah bahawa 'Gaṇapati-Brahmaṇaspati' dalam Ṛgveda telah secara beransur-ansur menjadi dewa 'Gajavadana-Gaṇeśa-Vighneśvara.'
Walaupun Gaṇapati amat disanjung tinggi dan dianggap penting, rupa-Nya yang pelik memang membingungkan. Bagi menjawab misteri kepala gajah-Nya, beberapa Purāṇa telah mengemukakan pelbagai cerita yang menarik. Antaranya ialah:
Atas permintaan dewa-dewi untuk mendapatkan seorang Dewa yang dapat menghapuskan segala halangan untuk mencapai matlamat dan impian mereka, Mahādeva Śiva telah lahir kepada Pārvati sebagai Gajānana.
Pada suatu ketika, secara main-main, Pārvati membuat sebuah patung kanak-kanak dengan kepala gajah menggunakan serbuk mandian yang disapukan pada badan-Nya. Kemudian, Dewi membuang patung itu ke dalam sungai Gaṅgā. Patung itu menjadi 'hidup'. Kedua-dua Dewi Gaṅgā dan Pārvati memanggil budak itu sebagai anak mereka. Oleh itu, Gaṇapati juga dikenali sebagai Dvaimātura, 'seorang yang mempunyai dua orang ibu'.
Pārvati membuat patung seorang kanak-kanak dengan daki badan-Nya, dan meniupkan nyawa ke dalamnya. Kemudian, Pārvati mengarahkan budak itu untuk menjaga pintu rumah-Nya. Apabila Śiva ingin memasuki rumah itu, penjaga pintu baru itu menghalang-Nya. Śiva menjadi murka dan memenggal kepala budak itu. Apabila Pārvati mendapat tahu tentang tragedi yang berlaku, Dewi menjadi amat sedih. Sementara itu, seseorang telah memakan kepala budak itu. Bagi membetulkan 'kesalahan-Nya', Śiva mendapatkan kepala gajah dan memasangnya pada jasad budak itu dan menghidupkannya. Kemudian, Śiva melantik anak-Nya sebagai ketua kumpulan Gaṇa. Demikian anak Siva mendapat nama 'Gaṇapati'.
Gaṇapati muncul daripada keserian rupa Śiva yang menggambarkan prinsip angkasa atau ākāśatattva. Ketampanan dan keseriannya yang memikat hati memurkakan Pārvati. Pārvati menyumpahnya, menyebabkan rupa-Nya menjadi hodoh.
Simbolisme Ganesha
Gaṇa bermaksud kategori. Semua pengalaman yang diperolehi melalui pancaindera dan semua yang difahami boleh dikelaskan atau dikategorikan. Prinsip yang menyebabkan kewujudan semua kategori ini ialah Gaṇapati atau Tuhan semua kategori. Ini sebenarnya bermaksud, asal-usul ciptaan atau Tuhan.
Satu perkataan umum bahasa Sanskrit untuk gajah ialah 'Gaja'. Maka, nama 'Gajānana' atau 'Gajamukha' ('muka gajah') diberikan. Namun, perkataan 'Gaja' mempunyai maksud yang mendalam. 'Ga' merujuk kepada 'gati' atau matlamat akhir yang ditujui oleh seluruh ciptaan, sama ada secara sedar atau tidak sedar. 'Ja' pula merujuk kepada 'janma', iaitu kelahiran atau asal-usul. Maka, 'Gaja' bermaksud Tuhan, iaitu asal-usul ciptaan dan matlamat akhir semua. Inilah maksud simbolik kepala gajah.
Satu lagi faktor dalam ciptaan ialah mikrokosmo (sūkṣmāṇḍa) dan makrokosma (brahmāṇḍa) yang merupakan replika satu sama lain. Kepala gajah merujuk kepada makrokosmo dan badan manusia pula ialah mikrokosmo. Kedua-duanya menjadi satu unit. Oleh kerana makrokosmo ialah matlamat mikrokosmo, bahagian gajah telah diberikan kepentingan dengan menjadikannya kepala. Kenyataan yang paling berani yang pernah dibuat ialah ayat suci dalam Chāndogya Upaniṣad (6.8.7): 'tat-tvam-asi', 'Kaulah Itu'. Maksudnya ialah: 'Kau, jiwa yang kerdil, ialah sebenarnya Kebenaran Kosmik, Yang Mutlak (dalam kata lain, 'Tuhan').' Rupa gajah-manusia ini ialah satu gambaran ikonografi kenyataan Vedanta ini. Kepala Gajah menggambarkan prinsip kosmik manakala badan manusia pula menggambarkan jiwa individu.
Salah satu nama Gaṇapati yang popular ialah Vighneśvara atau Vighnarāja (Dewa Halangan). Dia ialah dewa untuk semua bentuk halangan dan sekatan. Jika Dia mahu, dengan kuasa-Nya untuk menyekat dan menghalang sesuatu, Dewa ini boleh menyebabkan kesusahan yang tidak terkira. Malah, menurut cerita-cerita Purāṇa, Gaṇapati dicipta ialah untuk menghalang kemaraan ke arah kesempurnaan! Bagaimanakah Vighneśvara melakukannya? Sekiranya Dia tidak disembah atau dipuja dengan cara yang betul, semua tindakan dan aktiviti, sama ada sekular atau keagamaan, akan terganggu dan menghadapi halangan. Ini menunjukkan bahawa tanpa rahmat atau restu-Nya, tiada apa-apa yang akan berjaya. Jika Dia gembira dan berpuas hati dengan pemujaan yang dilakukan, Dia akan cuba menggoda pemuja-Nya dengan kejayaan dan kekayaan (siddhi dan ṛddhi), yang secara beransur-ansur akan memesongkan seseorang dari jalan kerohanian. Mengapakah Dia berbuat demikian? Bagi menguji pemujanya dengan sepenuhnya sebelum memberikan rahmat kerohanian yang tertinggi iaitu mokṣa. Sebagai Raja semua seni dan sains, dan khazanah segala ilmu, Gaṇapati dengan mudah boleh memberikan seseorang kejayaan atau kesempurnaan. Namun, Dia enggan untuk memberikan ilmu kerohanian yang akan membawa kepada pengalaman kerohanian yang tertinggi kerana khuatir manusia akan memandangnya ringan. Maka, ujian yang ketat dikenakan. Jalan ke arah kebaikan penuh dengan pelbagai rintangan. Hanya wira-wira terbaik, yang berani menghadapi segala dugaan dan cabaran, layak untuk mencapainya. Secara semulajadi, manusia cenderung untuk menikmati keseronokan duniawi dan mabuk dengan kuasa dan kekayaan. Hanya satu dalam sejuta akan berpaling ke arah Tuhan. Dalam kalangan jiwa-jiwa ini, hanya beberapa sahaja yang berjaya mencapai matlamat akhir. (vide Bhagavad Gita 7.3)
Gaṇapati mempunyai telinga yang besar, cukup besar untuk mendengar doa semua orang. Namun, seperti kipas, telinga itu dapat menapis dan mengasingkan antara doa yang baik dan buruk untuk pendoa-Nya. Gading-Nya yang sempurna merujuk kepada Kebenaran, Satu tanpa yang lain. Gadingnya yang terpatah pula menggambarkan dunia, yang kelihatan tidak sempurna akibat percanggahan asas.
Pemujaan
Ganesha disembah dalam banyak upacara keagamaan dan juga sekular, terutamanya semasa permulaan sesuatu kegiatan seperti membeli kereta atau memulakan perniagaan. Boleh dikatakan bahawa hampir tidak ada rumah (di India) yang tiada berhala Gaṇapati. Sebagai dewa yang paling popular, Gaṇapati disembah oleh semua orang di seluruh benua India. Di India Selatan, golongan artis akan memulakan persembahan seperti tarian Bharatnatyam selepas berdoa kepada Gaṇapati.
Mantra-Nya yang paling popular ialah Om Śri Ganeṣāya Namah dan Om Gaṃ Gaṇapataye Namah.
Gaṇapati sering dipersembahkan dengan modaka dan laddu (sejenis manisan). Dia juga sering digambarkan sebagai sedang memegang sebuah mangkuk yang penuh dengan manisan bernama modakapātra. Dia dipuja dengan sejenis serbuk kayu cendana merah (raktacandana) atau bunga kemerahan seperti bunga merak. Rumput Dūrvā (Cynodon dactylon) juga suatu benda utama dalam pemujaan dewa ini.
Ikon-Ikon Ganesha
Terdapat beberapa variasi ikon-ikon Ganesha di kuil-kuil dan monumen-monumen arkeologi. Antara ikon-ikon yang popular ialah Bālagaṇapati, Taruṇagaṇapati, Vināyaka, Vīravighneśa, Herambagaṇapati dan Śaktiganapati. Bālagaṇapati menggambarkan seorang budak lelaki dan Tarunagaṇapati ialah seorang pemuda. Vināyaka mempunyai empat tangan dan dia memegang gading yang patah, cemeti, gelung, dan kalung tasbih. Dengan belalainya, dia memegang sebiji modaka (sejenis manisan). Vīravighneśa, yang bertangan sepuluh menunjukkan kehebatan seni peperangan dengan memegang pelbagai jenis senjata. Herambagaṇapati mempunyai lima kepala, sepuluh tangan, tiga mata pada setiap kepalanya dan menunggang seekor singa. Beberapa rupa Śaktigaṇapati dijelaskan dalam Tantra. Biasanya Gaṇapati ini ditunjukkan bersama-sama Śaktinya iaitu Lakṣmī, Ṛddhi, Siddhi, Puṣṭi dan sebagainya. Penyembahan Śakigaṇapati dipercayai memberikan kesaktian luar biasa dan memenuhi idaman seseorang dengan segera.
Śakigaṇapati juga mempunyai pelbagai rupa berlainan. Salah satunya ialah Ucchiṣṭagaṇapati, yang dikaitkan dengan kekotoran dan benda-benda kotor. Penyembahan Ucchiṣṭagaṇapati ialah sejenis tradisi Vāmācārā (suatu ajaran serong, dan biasanya bercanggah dengan ajaran-ajaran popular). Sebenarnya, tiada apa yang menggerikan atau mengejutkan tentang konsep ini. Kekotoran juga ialah sebahagian daripada alam ini. Bukankah doktor dan pencuci tandas juga mengendalikan benda-benda kotor secara bersih dan berkhidmat kepada orang lain. Bukankah semua orang pun perlu melakukan sedikit sebanyak kerja-kerja pembersihan? Jadi apa salahnya jika kerja pembersihan juga dilakukan sebagai suatu aktiviti amal dan pemujaan? Jadi, dengan menjadikan Ganesha menjadi dewa kekotoran, dan melakukan kerja-kerja pembersihan secara saintifik dan sebagai amal ibadat menjadi suatu disiplin rohani. Ini adalah falsafah disebalik penyembahan Ucchiṣṭagaṇapati.
Nṛttagaṇapati ialah sebuah imej Ganesha dalam gaya tarian. Pada suatu ketika, Brahma berjumpa dengan Ganesha dan menyembahnya dengan penuh iman dan hormat. Melihat ini, dalam keadaan gembira Ganesha mula menari dengan penuh anggun. Demikian, Ganesha juga mendapat nama sebagai pakar seni muzik dan tarian.
Varasiddhi Vināyaka ialah ikon Ganesha yang dipuja semasa perayaan Vināyaka Caturthi. Ini ialah aspek Vināyaka sebagai orang bujang.
Kadang-kadang, Ganesha juga digambarkan sebagai Śakti (dewi) dengan pelbagai nama dan rupa seperti Gaṇeśanī, Vināyakī, Śūrpakarṇī dan Lambamekhalā. Ganesha disembah dengan menggunakan arca, linga, śālagrama, yantra dan kalaśa (belanga air). Śālagramā (sejenis batu) Ganesha amat jarang ditemui. Svastika juga diterima sebagai suatu simbol Ganesha.
Mazhab Gāṇapatya
Satu mazhab penganut Hindu dipanggil sebagai Gāṇapatya. Menurut mazhab ini, Ganesha dianggap sebagai Tuhan Maha Esa. Kemungkinan mazhab ini telah wujud pada kurun ke-7 Masihi dan berkuasa sekitar kurun ke-10, sebelum ia hilang kepentingannya.[8]
Kitab-kitab asas mazhab ini ialah Gaṇeśagītā dan Gaṇeśapurāṇa.
Mazhab Gāṇapatya menggariskan penyembahan lima rupa-rupa Gaṇeśa bersama-sama dengan pasangan-Nya atau Śakti iaitu: Ūrdhva-Gaṇapati, Piṅgala-Gaṇapati, Mahā-Gaṇapati, Ucchiṣṭa-Gaṇapati, dan Lakṣmi-Gaṇapati. Dalam kalangan lima penyembahan ini, penyembahan Ucchiṣṭa-Gaṇapati jelas merupakan satu amalan Vāmācāra dan ini bertentangan dengan tradisi Vedik.[9]
Gāṇapatya kemudiannya telah berpecah kepada enam kumpulan berasingan. Śankara (788-820 Masihi) dikatakan telah menukar kebanyakan penganut-penganut mazhab Gāṇapatya ke mazhab-mazhab Vedik yang lain.[10]
Perayaan
Perayaan-perayaan penting untuk Gaṇapati ialah Ganesh Chaturthi or Vināyaka Chaturthī dalam bulan Ogos/September. Ganesha Jayanthi juga disambut pada bulan Januari/Februari.
Vināyaka Chaturthī
Perayaan ini diadakan selama sepuluh hari, bermula dengan Ganesha Chaturthi dalam akhir bulan Ogos atau awal September. Sambutan bermula dengan mendirikan berhala-hala Ganesha daripada tanah liat. Pada hari terakhir atau Ananta Chaturdashi, berhala-berhala ini akan ditenggelamkan dalam air.
Asal-usul perayaan ini tidak dapat ditentukan. Namun, sejak zaman Shivaji (1630-1680), pengasas empayar Maratha, perayaan ini telah disambut ramai di Pune. Peshawa (pentadbir turun-temurun empayar Maratha dari 1718 hingga 1818) telah mengalakkan sambutan ini di Pune, ibu negeri mereka. Ganesha ialah dewa keluarga (Kuladevata) Peshawa. Selepas kejatuhan Peshawa, sambutan Ganesha Chaturthi menjadi satu perayaan yang disambut secara persendirian di rumah. Keadaan ini berterusan sehingga ianya dihidupkan semula oleh Lokmanya Tilak, seorang penjuang kemerdekaan di Maharashtra.
Sambutan awam di Maharashtra yang masihi diikuti kini diperkenalkan pada tahun 1892 oleh Bhausaheb Laxman Javale. Selepas bertemu dengan Balasaheb Natu dan Krishnajipant Khasgiwale, Bhausaheb Laxman Javale mendirikan arca Ganesha awam (sarvajanik) pertama. Semasa melawat negeri Gwaior yang berada di bawah pemerintahan Maratha, Khasgiwale menyaksikan sambutan awam perayaan ini dan menceritakannya kepada kawan—kawannya di Pune.
Pada tahun 1893, Tilak memuji sambutan perayaan sarvajanik Ganesha dalam surat khabarnya, Kesari. Pada tahun berikutnya, Tilak meletak arca Ganesa di pejabat Kesari. Usahanya menukar sambutan domestik ini menjadi suatu sambutan awam yang amat terancang. Tilak mengenalpasti Ganesha sebagai 'tuhan untuk semua orang', dan mempopularkan perayaan Ganesh Chaturthi sebagai suatu perayaan nasional untuk 'merapatkan golongan Brahmin dan bukan Brahmin' dan membina satu kesatuan di antara mereka dan mewujudkan semangat kebangsaan yang berkobar-kobar dalam kalangan penduduk Maharashtra untuk menentang penjajah Inggeris. Tilak merupakan orang pertama yang mendirikan berhala-berhala Ganesha di pentas-pentas besar, dan memulakan tradisi menenggelamkan berhala ke dalam sungai, laut atau kolam pada hari ke-10 perayaan ini. Demikian, orang ramai terlibat dengan sambutan perayaan ini dengan mengadakan perbincangan intelektual, bacaan syair, drama, pementasan, konsert, dan tarian-tarian asli. Masyarakat dari semua lapisan kasta bertemu semasa sambutan awam pada masa penjajah Inggeris mengenakan sekatan untuk perkumpulan sosial dan politik.
Kini, selain Maharashtra, perayaan ini juga disambut di Mumbai, Pune dan lain-lain negeri di India.
Rujukan
^"Ganesha getting ready to throw his lotus. Basohli miniature, circa 1730. National Museum, New Delhi!. Attired in an orange dhoti, his body is entirely red. On the three points of his tiny crown, budding lotuses have been fixed. Gaṇeśa holds in his two right hands the rosary and a cup filled with three modakas (a fourth substituted by the curving trunk is just about to be tasted). In his two left hands, Gaṇeśa holds a large lotus above and an axe below, with its handle leaning against his shoulder. In the Mudgalapurāṇa (VII, 70), in order to kill the demon of egotism (Mamāsura) who had attacked him, Gaṇeśa Vighnarāja throws his lotus at him. Unable to bear the fragrance of the divine flower, the demon surrenders to Gaṇeśa." For quotation of description of the work, see: Martin-Dubost (1997), p. 73.
For the elephant hook as a weapon of Ganesha, see: Jansen. p. 46.
For the aṅkuśa as an attribute of Ganesha, see: Nagar, Appendix I.
^Wilkinson, Richard James (1932). "Gana". A Malay-English dictionary (romanised). I. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 323 – melalui TROVE, National Library of Australia.
Brown, p. 1. "Gaṇeśa sering dikatakan sebagai dewa yang paling sering disembah di India."
Getty, p. 1. "Gaṇeśa, Tuan Gaṇas, walaupun di kalangan dewa-dewa yang terkini dianggap sebagai pantheon Brahmanik, telah, dan masih, yang paling secara universal dipuji dari semua dewa-dewa Hindu, dan imejnya didapati hampir di setiap bahagian India."
^Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism (Ramakrishna Math, Bangalore: 2008) Vol.1, p.606