Share to: share facebook share twitter share wa share telegram print page

Genangan Empayar Uthmaniyah

Genangan Empayar Uthmaniyah (1683-1827) ialah zaman yang mengikuti zaman perkembangan Turki Uthmaniyah.

Sultan Murad IV

Selepas tewasnya tentera Uthmaniyah dalam perang di Vienna pada tahun 1683 yang menunjukkan bahawa Empayar Uthmaniyah bukan lagi kuasa besar di Eropah. Pada tahun 1699, buat pertama kali dalam sejarahnya, Empayar Uthmaniyah mengakui bahawa Austria adalah sama taraf dengannya. Bukan sahaja itu, Empayar Uthmaniyah juga kehilangan wilayah besar dikuasainya sejak sekian lama. Terdapat banyak sultan yang dilantik selepas itu yang tidak sekuat generasi Mehmed II, Selim I dan Suleyman I.

Semasa zaman kemerosotan ini, Empayar Uthmaniyah lemah kerana masalah dalaman dan luarannya disebabkan peperangan yang amat mahal terutamanya menentang Parsi, Persekutuan Poland-Lithuania, Rusia, Austria-Hungary. Perang Rusia-Turki ialah peperangan antara Rusia dan Empayar Uthmaniyah semasa kurun ke-17, ke-18, dan ke-19 masihi (kesemuanya 10 peperangan). Ia merupakan di antara konflik yang paling lama dalam sejarah Eropah yang berlarutan selama 241 tahun; lebih lama daripada Perang Seratus Tahun di antara England dan Perancis. Sebelum itu, Empayar Uthmaniyah tewas dalam Perang Lepanto pada tahun 1571.

Perjanjian Passarowitz menghasilkan satu era yang aman di antara tahun 1718-1730. Pentadbiran Uthmaniyah mula berubah dengan memajukan kota-kota sekitar Balkan yang akan menjadi benteng pertahanan mereka sekiranya peperangan meletus dengan kuasa Eropah. Pelbagai perubahan dilakukan seperti mendapat pandangan rakyat, mengurangkan cukai, memperbaiki kemudahan awam, dan berbagai-bagai lagi perubahan. Walau bagaimanapun, Empayar Uthmaniyah gagal bersaing dalam bidang teknologi dengan musuhnya di Eropah, terutamanya Rusia.

Pada penghujung kurun kelapan-belas menyaksikan Empayar Uthmaniyah ketinggalan jauh berbanding kuasa Barat. Peperangan berlaku dan mengakibatkan Uthmaniyah kehilangan banyak wilayah kepada Rusia dan Austria. Kawasan seperti Mesir juga mencapai kemerdekaan. Semasa zaman ini, bermula dengan pemerintahan Sultan Selim III terdapat usaha-usaha untuk memodenkan sistem-sistem di Turki. Banyak reformasi yang dilakukan oleh pemerintah dihalang oleh golongan-golongan konservatif di dalam Turki Uthmaniyah sendiri sama ada oleh golongan keagamaan atau oleh golongan Janissari yang pada masa ini telah menjadi korup. Walaupun askar elit Janissari ini dimansuhkan pada tahun 1826, usaha ini masih mendapat tentangan.

Kembali kehalaman sebelumnya