Gerai India Muslim, juga dikenali sebagai "Nasi Kandar", merupakan sejenis tempat makan yang menyajikan masakan India Muslim. Di Malaysia, India Muslim merujuk kepada orang India beragama Islam, dan secara amnya, gerai Nasi Kandar dimiliki dan dikendali oleh golongan ini. Sungguhpun lazimnya dibuka sebagai gerai tepi jalan, sebilangan pengendali gerai India Muslim zaman moden telah mengembangkan perniagaan mereka sehingga menjadi penubuhan seakan-akan restoran atau kafe (kedai Nasi Kandar) yang mempunyai beberapa cawangan. Gerai Nasi Kandar diminati rakyat Malaysia sebagai tempat istirahat, kerana makanan dan minumannya berharga murah dan lazimnya gerai sebegini dibuka 24 jam sehari.
Gerai Nasi Kandar sudah sebati dengan budaya Malaysia kerana boleh didapati di merata tempat di negara ini, terutamanya di kawasan bandar raya. Budaya popular berlepak di gerai Nasi Kandar telah ditanam dalam semua peringkat masyarakat Malaysia. Maka, gerai Nasi Kandar menjadi gabungan pelbagai budaya, satu lambang keharmonian sesama kaum. Tanpa mengira kaum, agama dan umur, orang ramai sentiasa mengunjungi gerai Nasi Kandar unutk bergosip atau menonton perlawanan bola sepak larut malam sambil meminum teh tarik panas. Gerai Nasi Kandar merupakan tempat di mana adalah amat senang untuk mengenal pasti "pemburu kegemilangan" bola sepak (orang yang menyokong sesebuah kelab bola sepak kerana saiz, mutu dan/atau popularitinya dalam media). Tiada jenis tempat makan yang lain setanding dengan gerai Nasi Kandar dari segi kepentingan budaya, kecuali kopi tiam.
Sejarah
Masyarakat India Muslim di Malaysia merupakan keturunan Tamil Muslim yang berwarganegara Malaysia. Berabad-abad lalu, leluhur mereka kebanyakannya berhijrah dari India Selatan ke Semenanjung Tanah Melayu dan pelbagai lokasi di Asia Tenggara. Mereka dianggap sebagai sebahagian masyarakat India Malaysia. Orang India telahpun menetap di Malaysia seawal kurun pertama - 5 C.E. berdasarkan teknik radiokarbon, AMS dan OSL, di tapak peleburan besi (SB2A) di Lembah Bujang, Kedah, Malaysia.[1], [2]
Sajian Restoran Nasi Kandar
Lazimnya menu sesebuah gerai Nasi Kandar mesti mengandungi teh tarik, Milo dan Horlicks serta beraneka pilihan roti canai. Kebanyakan gerai Nasi Kandar juga menyajikan beberapa jenis masakan nasi, seperti nasi lemak dan nasi goreng, serta masakan mi seperti mi goreng. Tambahan pula, ada yang juga merangkumi sate dan makanan Barat.