Mat Som ialah novelgrafik karya kartunis Malaysia, Lat yang mengisahkan tentang dilema dalam kehidupan seorang penulis sambilan di ibu kota dan pada masa mengimbau zaman kanak-kanak di kampung halamannya. Buku ini juga merupakan keterangan kehidupan seorang anak muda yang sedang mencari arah tujuan hidup di kota serba moden yang pesat berkembang. Ia juga merupakan asas bagi adaptasi filemnya yang dikeluarkan pada 1990.
Diterbitkan pada 1989 oleh syarikat milik Lat, Kampung Boy Sdn. Bhd., Mat Som merupakan satu kejayaan komersial dan kritis; cetakan pertamanya telah habis dijual sebaik sahaja dilancarkan. Diterbitkan dalam bahasa Melayu, ia juga diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh Adibah Amin. Ia telah diuar-uarkan sebagai novel grafik pertama di Malaysia. Kesinambungan untuk novel grafik ini sedang dalam perancangan.
Plot
Kisahnya bermula dengan Mat Som menceritakan tentang dirinya sendiri, kehidupan peribadi, kerjayanya sebagai penulis separuh masa dan kepayahannya sebagai seorang budak kampung serta sepucuk surat yang dikirim dari kampung kepadanya. Mat Som tinggal bersama rakan serumahnya, So'ud di sebuah kawasan subbandar di Kuala Lumpur. Sewaktu menunggu ketibaan bas, Mat Som terserempak dengan Yam yang tinggal sekampung dengannya, sambil mengakui dia dan Yam masih tidak bertegur sapa walaupun sudah tinggal berjiran selama bertahun-tahun. Di tengah-tengah kesibukan ibu kota, Mat Som yang sedang mencari ketenangan di sungai berdekatan Masjid Jamek, membaca surat yang dikirim kepadanya oleh bapanya di kampung. Mat Som terkenangkan zaman kanak-kanaknya apabila dia pernah mencari bunga teratai bersama Mat Bo dan Faridah. Mat Som sedar yang bapanya ingin melihatnya berkahwin dengan Wan Faridah. Menyedari yang dia tiada ada duit untuk makan, Mat Som menggadaikan jam tangannya di kedai pajak gadai dan makan di sebuah restoran. Mat Som mengakui tiada orang berkahwin dengan jodoh pilihan ibu bapa mereka pada zaman mikrocip.[1]
Di rumah, Mat Som dan So'ud bersembang, mereka bercakap tentang jodoh. Mat Som percaya bahawa itu merupakan fantasi bapanya semata-mata yang mahu menjodohkannya dengan Wan Faridah. Keesokan harinya, Mat Som terserempak sekali lagi dengan Yam. Leman datang bersama kereta barunya dan menegur Mat Som. Leman kemudian mengajak Mat Som keluar, namun keretanya mengalami kerosakan. Mat Som menuju ke pondok telefon berdekatan untuk menghubungi Wan Faridah untuk seketika dan terkenangkan zaman kanak-kanaknya dengan Wan Faridah. Selepas itu, Mat Som menghadap bosnya, Pak Samad. Mat Som menghadiri deklamasi sajak pada malam itu yang menyaksikan penyair terkenal, Abdul Ghafar Ibrahim menyampaikan sajak bertajuk "Tak Tun". Di sana, dia bertemu dengan Pyan Habib. Selepas tamat deklamasi, Pyan membawa Mat Som berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur pada waktu malam, mereka kemudian menghadiri satu majlis hari lahir di sebuah banglo. Sambil makan di kolam renang, Mat Som terkenangkan lagi zaman kanak-kanaknya. Kali ini Mat Som terkenang apabila dia melaungkan azan untuk menunaikan solat Maghrib.[2]
Mat Som dan Pyan mengambil keputusan untuk keluar dari banglo secara senyap-senyap sementara tetamu di dalam banglo tersebut sedang asyik menari. Mereka terus lari setelah dikejutkan dengan suara seekor anjing yang menyalak. Sewaktu dalam perjalanan pulang, Pyan membacakan sajak sambil didengari oleh Mat Som. Mat Som terus pulang ke rumahnya. Keesokan harinya, Mat Som menghubungi Wan Faridah. Sewaktu menukar pakaian untuk menjamu selera di rumahnya, ikan goreng Mat Som dibawa lari oleh seekor kucing. Pintu rumahnya terkunci dan ini menyebabkan Mat Som yang dalam keadaan separa bogel, tidak dapat membuka pintu. Pada petang Jumaat, Mat Som berjumpa dengan So'ud di restoran miliknya. So'ud berasa pelik dengan gelagat Mat Som. Mat Som menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan menaiki teksi, namun keadaan menjadi kucar-kacir apabila banjir kilat melanda bandar raya berikutan hujan lebat. Mat Som terpaksa berlari sehingga ke Panggung Coliseum kerana keadaan jalan sesak dan teksi yang dinaikinya tidak dapat menghantarnya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Dalam keadaan basah kuyup, Mat Som menaiki bas dan situlah dia bertemu dengan Yam. Mereka kemudian makan dan minum bersama di sebuah warung sambil bersembang panjang. Tidak lama kemudian, Mat Som pulang ke kampung halamannya di Tanjung Malim dengan menaiki kereta api.[3]
Sebaik sahaja tiba ke kampung, Mat Som berjumpa dengan bapanya dan bertanya khabar. Mat Som terharu kerana bapanya menyimpan keratan akhbar yang bertuliskan namanya dan juga menyedari yang bapanya kurang sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Nasihat daripada ibu tirinya, Mak Tom sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada Mat Som. Mat Som kemudian membawa bapanya ke pekan dengan menaiki motosikal BSA milik bapanya untuk gunting rambut. Di pekan, Mat Som bertemu dengan Yip, kenalan lama bapanya. Di satu malam, di rumah, Mat Som berselisih faham dengan bapanya tentang hubungannya dengan Wan Faridah. Esoknya, Mat Som menerima panggilan telefon daripada Pak Samad yang dia telah ditawarkan jawatan sebagai wartawan dan segera melapor diri. Mat Som, ketika pertama kali sepanjang usianya, menjejakkan kaki di tempat kerja bapanya di atas kapal korek. Dia memohon maaf atas pertengkaran mereka dan meminta diri untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, Mat Som bertemu dengan Wan Faridah. Mat Som kemudian menjadi pengapit So'ud di majlis perkahwinannya. Selepas itu, Mat Som bertemu dengan Yam dan berjalan selamba memasuki konsert rock dengan berbaju Melayu dan bersamping sambil diperhatikan dengan ganjil oleh mat rock yang lain. Mereka menyaksikan persembahan daripada Ramli Sarip yang menyanyikan lagu "Orang Kota".[4]
Konsep
Mat Som ditulis berdasarkan daripada pengalaman dengan tokok tambah oleh Lat sendiri sewaktu beliau hidup membujang di Kuala Lumpur pada dekad 1970-an.[5] Menurutnya, kebanyakan persekitaran dan watak yang dilukis ialah inspirasi daripada watak sebenar.[6] Tidak seperti Kampung Boy (1979) dan Town Boy (1981) yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Lat menulis dan melukis Mat Som dalam bahasa Melayu dan merupakan komik autobiografi pertamanya yang diterbitkan dalam bahasa Melayu setelah Lat meluahkan kebimbangannya yang beliau mungkin menyisihkan rakyat Malaysia yang tidak fasih atau mahir berbahasa Inggeris.[5] Menurut Lat, beliau berbuat demikian kerana ingin mendekati penduduk kampung.[5] Kampung Boy Sdn. Bhd., syarikat yang diasaskan oleh Lat pada 1985, menerbitkan novel ini, manakala Berita Distributors, anak syarikat Berita Publishing mengendalikan urusan pengedaran. Antara nama-nama besar yang membuat penampilan khas dalam komik ini ialah pelakon veteran, Pyan Habib, penyair, Abdul Ghafar Ibrahim dan penyanyi rock, Ramli Sarip. Bekas wartawan, Abdul Samad Ismail atau Pak Samad turut membuat penampilan khas.
Gaya seni dan persembahan
Seperti dalam Kampung Boy dan Town Boy, tabir dalam Mat Som dibentangkan secara terperinci. Pengalaman hidup watak utamanya, Mat Som dalam komik ini dapat dikaitkan dengan kisah peribadi ramai pembaca yang seusia dengannya. Pustakawati, Ashiqin Ramadan berpendapat walaupun "merupakan bacaan ringan, kisah Mat Som sarat dengan pengajaran" yang mana "banyak nilai positif yang dapat kita raih daripadanya".[7] Beliau berpendapat salah satu faktor unik dalam Mat Som ialah penggunaan sajak dan lirik lagu di bahagian tertentu cerita. Salah satu daripadanya ialah lirik lagu “Orang Kota” nyanyian Ramli Sarip yang mana pada akhir cerita, liriknya dipaparkan sebagai "simbol ironi insan yang ke kota untuk membina kehidupan walhal tempat ini penuh dengan cabaran ketidaktentuan".[7] Wartawan Far Eastern Economic Review, Suhaini Aznam mengulas bahawa kekuatan Lat dalam buku ini ialah keupayaannya untuk menggambarkan liku-liku kehidupan seorang lelaki biasa secara satira tanpa apa jua kecenderungan yang ketara.[8] Prof. Dr. Muliyadi Mahamood berpendapat bahawa hubungan Mat Som dengan karya-karya Lat yang lain dapat dilihat menerusi kecenderungannya terhadap aspek budaya tradisional dan penampilan kepelbagaian warna hidup masyarakat berbilang bangsa di negara ini.[9] Beliau juga mendapati bahawa novel ini juga menggambarkan suasana kehidupan di kota dan desa yang menjadi sebahagian daripada nostalgia bagi kebanyakan orang selain menampilkan unsur-unsur autobiografi yang kuat dan nilai-nilai budaya yang positif.[10] Sejarawan seni, Redza Piyadasa mendapati bahawa dalam buku ini, Lat menggunakan teknik imbas semula "secara bijak" sekaligus beralih dari "kesibukan bandar ke zaman kampung".[11] Beliau turut berpendapat bahawa meskipun watak utamanya, Mat Som tidak menyerupai Lat secara fizikal, namun masyarakat masih mengenali beliau di sebalik watak itu.[11]
Sambutan dan legasi
Mat Som dikeluarkan pada Julai 1989 bersama-sama dengan Better Lat Than Never dan menjadi kejayaan komersial.[12] Cetakan pertamanya sebanyak 30,000 naskhah telah habis dijual selepas tiga bulan. Naskhah asal terbitan Kampung Boy bagi buku ini telah diulang cetak sebanyak tiga kali.[nb 1] Menurut Lat, sewaktu buku ini dikeluarkan, beliau bercuti selama 2 minggu di Jerman dan menerima khabar daripada seorang pembaca yang membeli buku Mat Som.[5] Ia turut diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh Adibah Amin. Buku ini diterbitkan semula pada 2004 oleh Berita Publishing dan pada 2016 oleh MPH Publishing.
Menulis untuk The Straits Times, Mardiana Abu Bakar berpendapat bahawa Mat Som ialah sebuah "buku cerita yang tidak seperti karya Lat terdahulu".[13] Sarinah Terimo dari akhbar sama turut berpendapat "melihat kandungan dalam Mat Som umpama menonton drama sosial".[14] Menulis untuk The Patriots, Danial Aziz Ahmad sifatkan Mat Som sebagai antara salah satu karya agung ciptaan Lat selain Kampung Boy, Town Boy, Keluarga Si Mamat dan sebagainya".[6]
Mat Som telah diadaptasikan dalam bentuk filem yang ditayangkan pada 1990 dan diterbitkan oleh Strawberry FTV Sdn. Bhd.[15][16] Ia diarahkan oleh Hatta Azad Khan dengan Imuda memegang watak tajuk dan Tiara Jacquelina sebagai Yam.[16] Lat membuat penampilan khas dalam filem ini dengan memegang watak sebagai penceramah bimbingan agama.[6]
Pada April 2021, Lat mengumumkan akan menerbitkan kesinambungan untuk Mat Som selepas lebih 3 dekad dengan tumpuannya kepada generasi muda sedang berusaha mencari arah tuju hidup mereka.[17][18] Menurut Lat, idea untuk menerbitkan buku kedua Mat Som mula diutarakan pada Mac 2017 semasa beliau berada di Riyadh, Arab Saudi.[19][20] Walaupun buku itu dijangka akan dikeluarkan pada Julai 2021, namun, sehingga pada 2023, penerbitan yang dijangka tidak menjadi kenyataan.
Catatan
^Spesifik cetakan semula: Mat Som (ed. Cetakan semula ketiga). Kuala Lumpur, Malaysia: Kampung Boy. 1990 [1989]. ISBN983-996-170-5.
Suhaini Aznam (14 Disember 1989). "Quipping Away at Racism". Far Eastern Economic Review. Hong Kong: Dow Jones & Company. 146 (50): 42–43. ISSN0014-7591. Proquest ID: 435880. Dicapai pada 2010-03-12.