Aminah Raden Nani atau lebih dikenali sebagai Miss Aminah (19 Januari 1919 – 6 November 2000) merupakan seorang penyanyi lagu raya pertama pada 1936 dari Singapura.[1]
Miss Aminah |
---|
Miss Aminah pada 1930an |
Kelahiran | Aminah Raden Nani (1919-01-19)19 Januari 1919
|
---|
Meninggal dunia | 6 November 2000(2000-11-06) (umur 81–82)
|
---|
Sebab kematian | Angin Ahmar |
---|
Nama lain | Mak Minah, Aminah Nani |
---|
Pekerjaan | Penyanyi |
---|
Tahun aktif | 1924–2000 |
---|
Ibu | Catherine De Bress/Fatimah Abdullah |
---|
Bapa | Raden Nani |
---|
Kehidupan Awal
Miss Aminah Nani dilahirkan di Singapura pada 19 Januari 1919 merupakan seorang primadona Sri Panggung Bangsawan. Bapanya Raden Nani merupakan seorang penggiat Bangsawan, manakala ibunya Catherine De Bress seorang Serani yang memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Fatimah Abdullah.[2][3]
Kerjaya
Miss Aminah merupakan individu pertama yang menyanyikan lagu bertemakan hari raya di tanah Melayu. Lagu berjudul "Selamat Hari Raya" itu dicipta oleh Tengku Ali Basha yang dirakamkan pada tahun 1936 melalui rekod HMV. Lagu berkenaan dirakam oleh HMV (His Master’s Voice) pada tahun 1936. HMV juga pernah dikenali sebagai ‘Chap Anjing’ (Dog Label) ketika itu masih zaman jajahan British.[4]
Miss Aminah memulakan karier dalam bidang bangsawan ketika di usia lima tahun kerana ketika itu perlu menggantikan tempat seorang kanak-kanak lain yang bernama Ainon Chik yang sedang sakit demam apabila disuruh oleh bapanya.
Aminah Nani dengan Minah Yem keduanya pelakon bangsawan yang pernah menjadi Sri panggung di pentas Bangsawan. Miss Aminah telah menghabiskan lebih 60 tahun sebagai seorang anak seni.
Lalu, minat beliau dalam bidang bangsawan terus berputik hinggakan pada tahun 1942, ketika berusia 23 tahun, digelar sebagai Sri Panggung Bangsawan. Dari situ, anak kelahiran Singapura ini kemudiannya terus bergerak aktif dalam bidang seni di Malaya sebelum menetap di Pulau Pinang dengan menjadi tenaga pengajar kepada pelajar dan kakitangan USM dalam seni bangsawan. Selain itu beliau juga banyak mengajar dan menjadi penasihat seni bangsawan di serata Malaya.
Menurut Noraza Hj. Abdul Aziz, walaupun berasal dari Singapura, Miss Aminah diterima dengan baik semasa berada di Pulau Pinang. Sikapnya peramah, baik hati dan kaya budi bahasa. Selama 43 tahun menetap di Kampung Makam, Miss Aminah menganggap tempat itu seperti tanah tumpah darahnya sendiri. Selain itu, Miss Aminah juga merupakan seorang yang aktif dalam bidang politik dengan penglibatannya bersama Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang.[5]
Kematian
Meninggal Dunia
Aminah Nani atau lebih popular dengan panggilan Mak Minah ini akhirnya meninggal dunia pada 6 November 2000 selepas diserang Angin Ahmar sejak 13 Oktober 2000.[6][7][8][9]
Buku Biografi Allahyarhamah
Empat tahun kemudian selepas kematian Allahyarhamah, Pada tahun 2004, Kementerian Kebdayaan, Kesenian & Warisan Malaysia pernah menerbitkan buku ‘Biografi Primadona Bangsawan Aminah Nani’, karya Noraza Hj. Abdul Aziz, seorang penyelidik dan pengkaji budaya, dari Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Pulau pinang. Selepas hampir berpuluh tahun bergelumang sebagai anak wayang dan melatih golongan pelapis bangsawan.[10]
Rujukan