Motor aruhan atau motor tidak segerak merupakan sejenis motorAC di mana kuasa dibekalkan kepada rotor melalui aruhan elektromagnet.
Motor elektrik berputar kerana daya magnet dikenakan antara elektromagnet pegun dipanggil stator dengan elektrimagnet berputar dipanggil rotor. Dalam motor DC serta motor AC gelang gelincir, arus dibekalkan kepada rotor melalui sesentuh bergerak dipanggil komutator serta gelang gelincir. Dalam motor aruhan pula, arus diaruhkan ke dalam rotor tanpa sebarang sentuhan oleh medan magnet stator, melalui aruhan elektromagnet. Motor aruhan kadang-kadang digelar sebagai transformer bergerak kerana stator membentuk bahagian primer transformer manakala stator membentuk bahagian sekunder transformer. Tidak seperti transformer biasa yang mengubah arus menggunakan fluks berkadaran masa, motor aruhan pula menggunakan medan magnet berputar untuk menukar voltan. Arus pada bahagian primer menghasilkan medan elektromagnet yang bertindak balas dengan medan magnet di bahagian sekunder bagi menghasilkan kilasan, dan seterusnya menukar tenaga elektrik kepada tenaga kinetik. Motor aruhan digunakan secara meluas, terutamanya motor aruhan berbilang fasa, yang sering digunakan dalam industri.
Motor aruhan menjadi pilihan utama sebagai motor industri kerana binaannya yang tahan lasak, ketiadaan berus yang mengurangkan kecekapan mekanikal (yang amat diperlukan dalam kebanyakan motor DC) serta — hasil teknologi elektronik kuasa moden — keupayaan untuk mengawal kelajuannya.
Sejarah
Idea medan magnet berputar dibangunkan oleh François Arago (1824)[1][2][3] serta mula diimplementasikan oleh Walter Baily.[4][5][6] Motor aruhan praktikal mula direalisasikan secara bebas oleh Galileo Ferraris, di Itali, dan Nikola Tesla, di Amerika Syarikat.[7][8][9] Menurut autobiografi 1915nya Tesla menemui prinsip medan magnet berputar pada tahun 1882 dan menggunakannya untuk mencipta motor AC tanpa berus atau motor aruhan pertama pada tahun 1883.[10][11] Ferraris membangunkan idea tersebut pada tahun 1885.[12][13][14] Pada tahun 1888, Ferraris menerbitkan hasil kajiannya kepada Akademi Diraja Sains di Turin semasa dia memperincikan asas teori bagi memahami cara motor tersebut beroperasi.[15] Pada masa berasingan tahun yang sama, Tesla memperoleh U.S. Patent 381,968. Motor aruhan jenis sangkar tupai dicipta oleh Mikhail Dolivo-Dobrovolsky lebih kurang setahun kemudian.
Binaan
Stator terdiri daripada 'kutub' berlilit yang mengangkut arus bekalan untuk mengaruh medan magnet yang menembusi rotor. Bilangan 'kutub' boleh berbeza mengikut jenis motor tetapi mestilah sentiasa berpasangan (iaitu 2, 4, 6, dsb.).
Motor aruhan selalunya dibina untuk menggunakan bekalan fasa tunggal atau 3 fasa, tetapi motor 2 fasa juga wujud, Secara teori, motor dua fasa dan tiga fasa boleh wujud; kebanyakan motor fasa tunggal yang mempunyai dua lilitan serta memerlukan satu kapasitor sebenarnya boleh dirujuk sebagai motor dua fasa, memandangkan kapasitor tersebut menghasilkan fasa kedua 90 darjah daripada bekalan fasa tunggal serta disuapkan pada satu gelung motor berasingan. Bekalan fasa tunggal lazim terdapat dalam rumah kediaman, tetapi tidak berupaya menghasilkan medan magnet berputar di dalam motor, oleh itu motor aruhan fasa tunggal mestilah mempunyai mekanisme penghidup bagi menghasilkan medan berputar. Motor tiga fasa pula boleh dihidupkan tanpa memerlukan kapasitor sebagaimana motor fasa tunggal, sekaligus menjadikannya lebih cekap daripada motor fasa tunggal dengan kadaran kuasa yang sama.
Terdapat 3 jenis rotor yang digunakan:-
Rotor sangkar tupai - jenis rotor yang paling lazim digunakan. Ia terdiri daripada beberapa batang aluminimum sama panjang serta selari yang disusun membentuk satu silinder serta disambungkan oleh gelang, menjadikannya berbentuk seperti "sangkar tupai". Batang-batang tersebut disusun senget sedikit bagi mengurangkan bunyi bising serta harmonik.
Rotor gelang gelincir - menggantikan "sangkar tupai" dengan lilitan yang disambungkan pada gelang gelincir. Apabila gelang tersebut dipintaskan, ia akan berperwatakan seperti motor sangkar tupai. Ia boleh juga disambung dengan perintang untuk menghasilkan litar rotor berintangan tinggi, yang boleh membantu menghidupkannya.
Rotor teras pepejal - diperbuat daripada keluli lembut pejal. Arus yang diaruhkan stator akan menghasilkan putaran.
Menghidupkan motor aruhan
Fasa tunggal
Dalam motor fasa tunggal, litar pemula diperlukan untuk memulakan putaran rotor. Jika ia tidak dilakukan, putaran boleh dimulakan dengan memutar rotor sedikit menggunakan tangan. Motor fasa tunggal boleh berputar pada mana-mana arah, maka hanya litar penghidup sahaja yang menentukan arah putaran.
^Annales de chimie et de physique (1824), vol. 27, page 363: "M. Arago communique verbalement les résultats de quelques expériences qu'il a faites sur l'influence que les métaux et beaucoup d'autres substances exercent sur l'aiguille aimantée, et qui a pour effet de diminuer rapidement l'amplitude des oscillations sans altérer sensiblement leur durée. Il promet, à ce sujet, un Mémoire détaillé." (En. Arago secara lisan mengumumkan keputusan eksperimen yang dikendalikannya mengenai logam serta bahan lain yang dikenakan pada jarum magnet, yang mempunyak kesan mengurangkan amplitud ayunan dengan pantas tanpa mengubah tempohnya. Dia berjanji untuk menyatakan memoir yang lebih lanjut mengenainya.)
^Babbage, C. and Herschel, J.W.F. (1825) "Account of the repetition of M. Arago's experiments on the magnetism manifested by various substances during the act of rotation," Philosophical Transactions of the Royal Society of London, vol. 115, pages 467-496.
^AC Power History (cf. "1879 - London: Walter Baily membuatkan sekeping ceper tembaga berputar menggunakan arus ulang-alik (ini merupakan motor AC terawal yang lemah) yang tidak cukup kuat untuk mengangkut sebarang beban [...]")
^Alternating currents of electricity: their generation, measurement, distribution, and application by Gisbert Kapp, William Stanley, Jr.. Johnston, 1893. Page 140. [cf., Arah ini mula diindikasikan oleh Profesor Galileo Ferraris, dari Turin, lebih kurang enam tahun dahulu. Berasingan daripada Ferraris, penemuan sama dilakukan oleh Nikola Tesla, dari New York; dan sejak kepentingan penemuan praktikal ini diiktiraf, agak ramai pengkaji bebas tampil mendakwa mereka sebagai penemu terawal.]
^Larned, J. N., & Reiley, A. C. (1901). History for ready reference: From the best historians, biographers, and specialists; their own words in a complete system of history. Springfield, Mass: The C.A. Nichols Co.. Page 440. [cf., Lebih kurang pada masa yang sama [1888], Galileo Ferraris, dari Itali, dan Nikola Tesla, dari Amerika Syarikat, membawakan motor yang dikendalikan oleh sistem arus ulang-alik disesarkan antara satu sama lain dalam fasa oleh amaun tertentu serta menghasilkan apa yang dikenali sebagai medan magnet berputar.]
^The Electrical engineer. (1888). London: Biggs & Co. Pg., 239. [cf., "[...] aplikasi baharu arus ulang-alik dalam penghasilan gerakan berputar ditemui hampir serentak oleh dua pengkaji, Nikola Tesla dan Galileo Ferraris, dan perkara ini menarik perhatian umum berikutan tiada komutator atau apa jua sambungan dengan armatur diperlukan."]
^ Seifer, M. J. (1998). Wizard: The life and times of Nikola Tesla : biography of a genius. New York: Citadel Press. Page 24