Pokok nipah merupakan satu-satunya pokok palma yang juga dikira sebagai pokok bakau, dan satu-satunya spesies dalam genus Nypa. Pokok nipah juga boleh dijumpai di kawasan-kawasan lain di selatan Asia dan utara Australia. Daun pokok nipah yang panjang dan lembut banyak digunakan masyarakat tempatan untuk membuat atap nipah. Selain itu, daunnya juga digunakan dalam seni anyam-menganyam bakul dan jerami.
Penerangan
Sebagaimana rumbia (Metroxylon spp.), batang pohon nipah menjalar di tanah, membentuk rimpang yang terendam oleh lumpur. Hanya roset daunnya yang muncul di atas tanah, sehingga nipah nampak seolah-olah tak berbatang. Akar serabutnya dapat mencapai panjang 13 m. Kerana perakaran nipah ini hanya terletak dalam lumpur yang sifatnya stabil maka rumpun-rumpun nipah dapat dihanyutkan oleh air sampai ke laut.
Dari rimpangnya muncul daun-daun majmuk menyirip seperti palma tegak atau separa menjulang hingga 9 m atas tanah. Panjang tangkainya 1-1,5 m; dengan kulit yang mengilap dan keras, berwarna hijau pada yang muda dan beransur menjadi perang gelapan sesuai umurnya; bahagian dalamnya lunak seperti gabus.[6] Anak daun berbentuk pita memanjang dan meruncing di bahagian hujung, memiliki tulang daun yang di sebut lidi (seperti pada daun kelapa). Panjang anak daun dapat mencapai 100 cm dan lebar daun 4-7 cm. Daun nipah yang sudah tua berwarna hijau, sedangkan daunnya yang masih muda berwarna kuning, menyerupai janur kelapa. Anak daun dalam setiap pelepah mencapai 25-100 helai.
Karangan bunga majmuk muncul di ketiak daun, berumah satu, dengan bunga betina terkumpul di hujung membentuk bola, dan bunga jantan tersusun dalam malai serupa untai, merah, jingga atau kuning pada cabang di bawahnya. Setiap untai mempunyai 4-5 bulir bunga jantan yang panjangnya mencapai 5 cm. Bunga nipah jantan dilindungi oleh seludang bunga, namun bahsgian yang terisi debunga tetap tersembul keluar. Bunga nipah betina berbentuk bulat peluru dan bengkok mengarah ke samping. Panjang tangkai badan bunga mencapai 100-170 cm. Tandan bunga inilah yang dapat disadap untuk diambil niranya. Empat hingga lima bulan sejak keluarnya bunga nipah, tandan bunga tersebut dapat disadap. Pada saat ini pengisian biji sedang aktif, maka bila dilakukan penyadapan pasti akan dapat memperolehi jumlah nira yang maksimum.
Buah adalah jenis buah batu dengan mesokarp bersabut, bulat telur terbalik dan gepeng dengan 2-3 rusuk, coklat kemerahan, 11 x 13 cm, terkumpul dalam kelompok rapat menyerupai bola berdiameter sekitar 30 cm.[7] Struktur buah mirip buah kelapa, dengan eksokarp halus, mesokarp berupa sabut, dan endokarp keras yang disebut tempurung. Biji terlindung oleh tempurung dengan panjangnya antara 8-13 cm dan berbentuk kerucut. Dalam satu tandan, buahnya dapat mencapai antara 30-50 butir, berdampingan satu dengan yang lainnya membentuk kumpulan buah bundar. Buah yang masak gugur ke air dan mengapung mengikuti arus pasang surut atau aliran air hingga tersangkut di tempat tumbuhnya. Kerap kali buah telah berkecambah dihanyutkan arus ke tempat yang baru.
Tegakan nipah di hutan bakauMaitum, Filipina tumbuh di bahagian belakang hutan bakau, terutama di dekat aliran sungai yang memasuki lumpur ke pesisiran. Pokok nipah ini dapat tumbuh di wilayah yang berair agak tawar, sepanjang masih terpengaruh pasang surut air laut yang mengantarkan buah-buahnya yang mengapung. Di tempat-tempat yang sesuai, tegakan nipah membentuk jalur lebar tak terputus di belakang lapisan hutan bakau, lebih kurang sejajar dengan garis pantai. Nipah mampu bertahan hidup di atas tanah yang agak kering atau yang kering sementara air surut. Di beberapa daerah tumbuh bercampur dengan pohon bakau yang lain.[8]
Kegunaan
Palma ini umum ditemukan mererimpun di sepanjang garis pesisir Lautan Hindi khususnya dari Benggala hingga pulau-pulau Pasifik terutama paya payau dan muara sesungai.[2] Nipah termasuk jenis tumbuhan yang terancam kepupusan di Singapura. Daun nipah yang telah tua banyak dimanfaatkan secara tradisional untuk membuat atap rumah yang daya tahannya mencapai 3-5 tahun. Daun nipah yang masih muda mirip janur kelapa, dapat dianyam untuk membuat dinding rumah yang disebut kajang. Daun nipah juga dapat dianyam untuk membuat tikar, bakul, topi dan bermacam anyaman keranjang. Di Sumatera, pada masa silam daun nipah yang muda (disebut pucuk) dijadikan daun rokok, iaitu lembaran pembungkus untuk melinting tembakau, setelah dikelupas kulit arinya yang tipis, dijemur kering, dikelantang untuk memutihkannya dan kemudian dipotong-potong sesuai ukuran rokok.[2] Beberapa naskah lama Nusantara juga menggunakan daun nipah sebagai alas tulis, bukannya daun lontar.
Batang pokok nipah di bawah lumpur. Hanya daun menjulur ke atas.
Gugusan bunga bulat pada pokok nipah.
Tangkai daun dan pelepah nipah dapat digunakan sebagai bahan kayu bakar yang baik. Pelepah daun nipah juga mengandungi selulosa yang boleh dimanfaatkan sebagai pulpa pembuatan kertas tetapi sukar dilembutkan dan dilunturkan lalu boleh memakan kos tinggi.[2] Lidinya dapat digunakan sebagai penyapu, barangan anyaman dan tali.
Nipah dapat pula disadap niranya, yakni cairan manis yang diperoleh dari tandan bunga yang belum mekar. Nira yang dikeringkan dengan dimasak dipasarkan sebagai gula nipah. Hasil pengoksidaan gula nipah dapat menghasilkan cuka. Masyarakat pepulau Rote dan Sawu, Nusa Tenggara Timur memberi makan nira nipah diberikan kepada ternakan babi di musim kemarau yang dipercayai kononnya memberikan rasa manis pada daging sembelihan kemudiannya.
Di Malaysia, Filipina dan juga di Papua, nira ini diperam untuk menghasilkan semacam tuak yang dinamakan tuba (dalam bahasa Filipina). Pemeraman lebih lanjut dari tuba akan menghasilkan cuka nipah. Di Malaysia, nira nipah dibuat sebagai bahan tenaga yang dapat dijadikan bahan bakar hijau pengganti bahan bakar petroleum. Etanol dan butanol yang dapat dihasilkan adalah sekitar 6,480-15,600 liter/ha/hari, jauh lebih unggul dibandingkan kelapa sawit iaitu 5,000 liter/ha/tahun.
Umbut nipah dan buah yang muda dapat dimakan. Biji buah nipah yang muda, yang disebut tembatuk, mirip dengan buah kabung (kolang-kaleng). Sedangkan buah yang sudah tua ditumbuk empuk menjadi tepung.
Di Kalimantan, arang dari akar nipah digunakan untuk ubat sakit gigi dan sakit kepala. Di sesetengah tempat pucuk nipah yang masih muda dianyam untuk dibuat ketupat.
Ancaman
Gangguan alam yang sering menimpa tanaman nipah adalah angin dan banjir. Haiwan yang sering mengganggu tanaman nipah adalah babi hutan, monyet, tikus, larva Artona, dan udang tanah. Penyakit yang biasa menyerang tanaman nipah adalah kulat. Tanaman nipah yang terserang penyakit kulat akan terganggu pertumbuhannya. Sekiranya tangkai buahnya terserang kulat, kawasan sadapan akan cepat rosak dan membusuk, sehingga tidak dapat disadap lagi. Pencemaran kulat perosak menyebabkan penurunan mutu nira.
^ abcdefHeyne, K. 1987. Tumbuhan Berguna Indonesia, jil. 1. Yay. Sarana Wana Jaya, Jakarta. Hal. 487-490.
^"nipah". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
^Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*nipaq: a swamp palm, Nipa fruticans". Austronesian Comparative Dictionary. Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology. Dicapai pada 28 Disember 2022.