Patañjali (Sanskrit: पतञ्जलि) ialah seorang penulis purba Sanskit yang masyhur. Lazimnya dipercayai bahawa beliau hidup dalam kurun ke-2 S.M. Ibu beliau bernama Gonika. Nama bapanya tidak diketahui. Patañjali mendapat pendidikan di Takṣaśilā (Taxila, kini di Pakistan). Beliau amat terkenal di negeri-negeri Vahika dan Gandhara.
Asal-usul
Perkataan "Patañjali" bermaksud "seorang yang jatuh ke dalam tangan yang mengaut". Apabila, petapa Gonarda sedang berdoa kepada Dewa Surya (Matahari) dengan air dalam tangannya yang mengaut (dikenali sebagai 'Anjalimudra'), seorang bayi jatuh dari angkasa ke atasnya. Petapa itu menyerahkan bayi itu kepada seorang wanita bernama Gonika (yang tidak mempunyai anak) untuk dibesarkan.[1]
Menurut satu versi lain, Gonika, puteri seorang petapa, sedang mempersembahkan arghya (air suci dalam tangannya) kepada Dewa Surya dengan niat untuk mendapatkan seorang anak. Ketika itu, seorang bayi jatuh ke tangannya. Bayi itu ialah sebenarnya Adisesa, raja ular dan tempat Mahavishnu bersemayam![2]
Patañjali dikatakan telah menghasilkan tiga karya penting. Beliau menulis karya-karya ini untuk membantu manusia biasa menyucikan badan, minda, dan percakapan mereka. Karya pertamanya ialah mengenai Ayurveda. Karya ini masih tidak dapat ditemui. Segelintir cendekiawan berpendapat bahawa Carakasamhita ialah suatu karya Patañjali, tetapi cendekiawan lain tidak bersetuju. Karya keduanya ialah Mahabhasya mengenai Aṣṭādhyāyī, iaitu Sūtra-sūtra Pāṇini mengenai tatabahasa Sanskrit. Karya terakhirnya ialah Yogasūtras.[3]
Mahabhasya mengandungi 86 seksyen atau ahnika. Karya ini dianggap sebagai model untuk prosa Sanskrit. Selain memberi penerangan kepada sūtra Pāṇini, ulasan ini mengandungi banyak maklumat tambahan lain.[4]
Antara semua ulasan Mahabhasya ini, ulasan Pradipa oleh Kaiyata (kurun ke-5 Masihi) adalah yang paling terkenal.[5]
Yogasūtras adalah teks asas bagi falsafah dan amalan Yoga. Karya ini mempunyai beberapa ulasan, dan antara yang terkenal ialah Bhasya oleh Vyasa (600 Masihi) dan Tattvavaiśāradī oleh Vacaspati (850 Masihi).[6]
Antara penulis-penulis terkenal yang dikenali sebagai Patañjali ialah:
Penulis Mahabhasya
Ini suatu karya purba tatabahasa dan linguistik Sanskrit berdasarkan kepada Aṣṭādhyāyī oleh Pāṇini. Patañjali dikatakan hidup dalam kurun ke-2 S.M.[7][8] Teksnya dinamakan sebagai 'Bhasya' atau 'ulasan' ke atas karya Katyayana-Panini. Namun, oleh kerana kepentingan karya ini dan kedudukannya dalam tradisi agama Hindu, karya ini juga disebut sebagai Mahabhasya ('Ulasan Agung'). Teks ini amat munasabah dan mendalam sehingga Patañjali dianggap sebagai otoriti dan ahli tatabahasa Sanskrit klasik yang terakhir selama lebih 2,000 tahun. Idea-idea Patañjali, Pāṇini dan Katyayana mengenai struktur, tatabahasa dan falsafah bahasa telah mempengaruhi sarjana-sarjana agama-agama India yang lain seperti agama Buddha dan agama Jain.[9]
Penyusun Yogasūtras dan sarjana falsafah Samkhya
Yogasutras ialah suatu teks teori dan amalan Yoga. Patañjali ini dianggarkan telah hidup antara kurun ke-2 hingga ke-4 S.M. Ramai sarjana lain berpendapat bahawa Patañjali ini hidup antara kurun ke-2 hingga ke-4 Masihi. Yogasutras merupakan suatu teks agama Hindu yang penting yang menjadi asas Yoga klasikal. Teks ini juga merupakan teks Yoga India yang paling banyak diterjemah dalam empat puluh bahasa India pada zaman dahulu.
Penulis teks perubatan Patanjalatantra
Ini ialah suatu teks perubatan yang banyak disebut dalam teks-teks perubatan dan sains zaman pertengahan. Patañjali ini terkenal sebagai seorang tokoh perubatan dalam teks-teks Yogaratnakara, Yogaratnasamuccaya dan Padarthavijnana.[10]
Sarjana Hindu
Seorang sarjana Hindu yang hidup dalam kurun ke-8 Masihi juga dikenali sebagai Patañjali. Beliau dikatakan sebagai penulis ulasan Charakavarttika iaitu ulasan Charaka Samhita. Menurut beberapa orang sarjana moden seperti P.V.Sharma, kedua-dua sarjana perubatan yang bernama Patañjali adalah mungkin orang yang sama, tetapi berlainan daripada Patañjali yang menulis teks Mahabhasya.
Patañjali juga merupakan salah seorang lapan belas Siddhar dalam tradisi Siddhar Tamil (Saiva).
Tradisi Tamil Saivisme
Berkenaan kehidupan awal Patanjali, tradisi Tamil Saivisme dari kurun ke-10 Masihi menyebut tentang Patanjali sebagai seorang tokoh Yoga. Patanjali bersama tujuh orang pengikut Nandi Deva. disebut dalam Tirumandiram oleh Tirumular (Tantra 1).
Kami mencapai tapak Tuhan yang merahmati Nandikesvara
Empat Nandi, Sivayoga Muni, Patanjali, Vyaghrapada dan aku (Tirumular)
Kamilah lapan orang ini.
Kehidupan
Louis Renou adalah antara pemikir yang mencadangkan bahawa Patañjali, penulis Yogasutras dan Patañjali, penulis ulasan tatabahasa Panini adalah dua orang yang berlainan.[12] Pada tahun 1914, James Wood mencadangkan bahawa kedua-duanya adalah orang yang sama.[13] Pada tahun 1922, Surendranath Dasgupta memberikan beberapa hujahan bagi menyokong pendapat bahawa kedua-dua penulis itu adalah orang yang sama.[14]
Amnya, pendapat bahawa terdapat dua Patañjali yang berlainan diterima oleh kebanyakan pemikir. Namun, beberapa sarjana Barat menganggap mereka sebagai orang yang sama.
Beberapa sarjana India berpendapat bahawa Patañjali yang menulis teks tatabahasa, perubatan, dan Yoga adalah orang yang sama. Ini disebut dalam suatu ayat oleh Bhoja pada permulaan ulasan Yogasutras yang dikenali sebagai Rājamārttanda (kurun ke-11). Kemudiannya, idea ini diikuti oleh Shivarama dalam suatu teks kurun ke-18.[15]
Tradisi ini dibincangkan oleh Meulenbeld[16] yang menjejaki idea ini kepada Bhoja (kurun ke-11) yang kemungkinan terpengaruh dengan serangkap ayat oleh Bhartrhari (kurun ke-5) yang menyebut tentang seorang pakar dalam yoga, ilmu perubatan, dan tatabahasa. Namun, Bhartrhari tidak menyebut nama pakar itu. Sebelum kurun ke-10. tiada teks Sanskrit yang menyatakan bahawa Patanjali yang sama telah menghasilkan ketiga-tiga teks ini.[17]
Rujukan
^Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Ramakrishna Math Bangalore
^George Cardona (1997). Pāṇini: A Survey of Research. Motilal Banarsidass. pp. 267–268. ISBN 978-81-208-1494-3.
^Mishra, Giridhar (1981). "प्रस्तावना" [Introduction]. अध्यात्मरामायणेऽपाणिनीयप्रयोगाणां विमर्शः [Deliberation on non-Paninian usages in the Adhyatma Ramayana] (PhD) (in Sanskrit). Varanasi, India: Sampurnanand Sanskrit University. Retrieved 21 May 2013.
^Hartmut Scharfe (1977). Grammatical Literature. Otto Harrassowitz Verlag. pp. 152–154. ISBN 978-3-447-01706-0.
^Meulenbeld, G. Jan (1999). History of Indian Medical Literature, vol. I part 1. Groningen: E. Forsten. pp. 143–144, 196. ISBN 978-9069801247.
^Tirumantiram in English, translated by Dr. B. Natarajan
^Louis Renou (1940). "On the Identity of the Two Patañjalis". In Narendra Nath Law. Louis de La Vallée Poussin Memorial Volume. Calcutta. pp. 368–73.
^Woods, James Haughton (1914). he Yoga-system of Patañjali: or, the ancient Hindu doctrine of Concentration of Mind Embracing the Mnemonic Rules, called Yoga-sūtras, of Patañjali and the Comment, called Yoga-bhāshya, attributed to Veda-Vyāsa and the Explanation, called Tattvaiçāradī, of Vāchaspati-miçra. Cambridge, Massachusetts: Harvard University Press. pp. introduction.
^Surendranath Dasgupta (1992). A History of Indian Philosophy. Reprint: Motilal Banarsidass (Original: Cambridge University Press, 1922). pp. 230–238. ISBN 978-81-208-0412-8.
^Patañjali; James Haughton Woods (transl.) (1914). The Yoga Sutras of Patañjali. Published for Harvard University by Ginn & Co. pp. xiv–xv.
^Meulenbeld, G. Jan (1999). History of Indian Medical Literature, vol. I part 1. Groningen: E. Forsten. pp. 141–44. ISBN 978-9069801247.
^Chandramouli S. Naikar (2002). Patanjali of Yogasutras. Sahitya Akademi. pp. 13–14. ISBN 978-81-260-1285-5.