Pertempuran Admin Box (bahasa Inggeris: Battle of the Admin Box, harfiah, "Pertempuran Kotak Pentadbiran") (kadang kala disebut Pertempuran Ngakyedauk ataupun Pertempuran Sinzweya) berlangsung di Medan Selatan kempen Burma dari 5 hingga 23 Februari 1944, dalam kancah Asia Tenggara, Perang Dunia Kedua.
Angkatan tentera Jepun cuba melancarkan serangan balas lokal terhadap ofensif Pihak Berikat, bertujuan untuk mengumpan pasukan-pasukan simpanan dari Medan Tengah di Assam, di mana pihak Jepun sedang membuat persediaan untuk melancar serangan besar-besaran mereka. Selepas mengalami beberapa kegagalan, Pihak Berikat dapat mengatasi kegagalan tersebut dan menangkis serangan Jepun, sekaligus mempelopori beberapa kaedah yang akan membawa kejayaan kepada Berikat dalam tahun berikutnya.
Pertempuran ini mengambil nama bersempena administration area ("kawasan pentadbiran") Divisyen Ke-7 Tentera India, yang menjadi posisi pertahanan segi empat tepat sementara buat Mejar Jeneral Frank Messervy dan stafnya selepas markas divisyen mereka ditawan pada 7 Februari.[4]
Rujukan
- ^ Moreman, p.122
- ^ a b Allen, p.178
- ^ Allen, p.638
- ^ Alan Jeffreys, 2005, The British Army in the Far East 1941–45, Oxford, Osprey Publishing, p33.