Share to: share facebook share twitter share wa share telegram print page

Puteri Saadong

Puteri Saadong atau Mariam (memerintah antara tahun 1667–1671), merupakan anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang, Raja Wanita Pertama negeri Kelantan. Nama penuh Puteri Saadong ialah Tuan Puteri Saadong binti Raja Loyor; juga memakai gelaran Puteri Vijaya Mala, Raja Jembal; merupakan anak perempuan Raja Loyor bin Raja Sakti, Raja Jembal.

Riwayat hidup

Puteri Saadong telah dibawa oleh Cik Siti Wan Kembang ke Bukit Marak apabila ibunya meninggal dunia.[1][2] Puteri Saadong menggantikan pemerintahan ayahdanya yakni Raja Jembal pada tahun 1667, lalu Puteri Saadong ditabal sebagai Sultan Kelantan pada tahun yang sama. Baginda Puteri Saadong merupakan raja wanita kedua di negeri Kelantan.

Cik Siti Wan Kembang telah memperkenankan perkahwinan antara Puteri Saadong dengan sepupunya iaitu Raja Abdullah bin al-Marhum Sultan Samiruddin, Raja Kelantan-Selatan (Jembal) apabila Puteri Saadong berumur seawal usia 15 tahun.

Puteri Saadong telah ditangkap oleh tentera Siam lalu dipaksa menjadikan permaisuri kepada Raja Narai dari kerajaan Ayutthaya (kini Thailand), untuk menggantikan kehidupan suaminya. Berikutan penangkapan Puteri Saadong, Raja Abdullah mengambil pendirian untuk menunggu kepulangan Puteri Saadong di mana baginda raja berjanji tidak lagi berkahwin. Namun selepas bertahun-tahun menunggu, Raja Abdullah mengambil keputusan berubah fikiran.

Apabila Puteri Saadong berjaya membebaskan diri, baginda kembali semula ke Bukit Marak untuk mencari Raja Abdullah untuk berkahwin semula. Sebaik Saadong kecewa mendapati Raja Abdullah telah berkahwin dengan wanita lain, perasaan amarah yang mendalam menjadi baginda Puteri Saadong bertekad lalu telah membunuh Raja Abdullah dengan menggunakan keris sanggul yang disemat dirambutnya.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa bahawa Puteri Saadong telah difitnah membunuh Raja Abdullah. Raja Abdullah pada hakikatnya sangat gembira dengan kepulangan Puteri Saadong. Raja Abdullah telah merancang untuk menabalkan semula Puteri Saadong sebagai Sultan Kelantan. Perkara ini telah menyebabkan Isteri Kedua Raja Abdullah tidak senang hati dan tidak tenteram kerana akan menurunkan martabat beliau juga. Semasa dalam perbincangan antara Raja Abdullah dan Puteri Saadong, tiba-tiba Isteri Kedua Raja Abdullah meluru masuk dan menikam Raja Abdullah. Isteri Kedua Raja Abdullah terus keluar dari tempat perbincangan dan menjerit-jerit mengatakan bahawa Raja Abdullah telah dibunuh oleh Puteri Saadong.

Selepas insiden tersebut, Puteri Saadong telah meninggalkan Bukit Marak lalu hilang tanpa dijejaki lagi. Makam Raja Abdullah sehingga hari ini masih boleh dilihat dan dilawati di Padang Halban, Melor di daerah Bachok, Kelantan.

Rujukan

  1. ^ Azhar, Syed (2009-08-05), "Residents erasing Bukit Marak history", The Star, dicapai pada 2010-03-18
  2. ^ Azhar, Syed (2009-08-10), "Museum wants Bukit Marak saved", The Star, dicapai pada 2011-03-18


Kembali kehalaman sebelumnya