Almarhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah adalah Sultan Pahang moden ke-3. Baginda diputerakan pada hari Khamis, 12 Oktober 1874 Masihi bersamaan 25 Syawal 1296 Hijrah di istana ayahandanya dan bondanya Cik Kusuma Sokma binti Tok Minal Daeng Koro di Istana Diraja, Pekan Lama. Baginda merupakan putera ketiga Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali.
Baginda telah dilantik menaiki takhta kerajaan Negeri Pahang setelah kemangkatan kekanda baginda iaitu Sultan Mahmud Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah pada bulan Mei 1919, di Balairung Seri Istana Seri Terentang, Pekan dengan penuh istiadat.
Baginda juga amat meminati seni dan budaya di mana semasa pemerintahan Baginda, kegiatan seni dan budaya seperti joget dan gamelan sangat giat diadakan. Kegiatan sukan dan permainan tradisional Melayu juga sering diadakan seperti lumba perahu, menuba, memburu dan silat.
Sultan Abdullah telah mangkat di Istana Kuning pada Rabu, 22 Jun 1932, jam 8:25 malam. al-Marhum Baginda dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sebelum al-Marhum Baginda dimakamkan, Yang Dipertua Adat Istiadat Negeri Pahang telah mengisytiharkan perlantikan putera Baginda, Tengku Abu Bakar iaitu Tengku Mahkota Pahang dilantik sebagai Sultan. Sultan Abdullah al-Mu'tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah mangkat dengan meninggalkan tiga orang isteri iaitu Che Endut, Sultanah Che Kalsum binti Tun Abdullah dan Che Wan Chantik binti Wan Mohd Amin dengan sepuluh orang putera dan tujuh orang puteri.
Lihat juga
Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.