Share to: share facebook share twitter share wa share telegram print page

Teori terjemahan

Teori terjemahan ialah satu cabang linguistik yang menghuraikan aspek-aspek bahasa, kebudayaan, dan komunikasi yang berperanan dalam amalan terjemahan. Penterjemahan ditakrifkan sebagai "penyalinan semula maklumat daripada bahasa sumber ke dalam bahasa penerima dalam bentuk persamaan yang terdekat dan sejadi, pertama dari segi makna dan kedua dari segi gayanya".

Pada suatu masa dahulu, jika seseorang mengetahui dua bahasa, dia dianggap boleh menjadi penterjemah tanpa memerlukan pengetahuan lanjut. Pendapat ini kini dianggap sangat jauh daripada kenyataan. Pakar-pakar dalam bidang penterjemahan telah menghasilkan teori dan prinsip yang menjadikan pedoman bagi para penterjemah. Seseorang yang ingin menjadi penterjemah yang baik kini diperlukan memenuhi empat syarat utama seperti yang berikut:

  1. Menguasai bahasa sumber secara mendalam: Keperluan ini dikehendaki untuk membolehkan seseorang penterjemah mengetahui selok-belok keistimewaan dan keganjilan bahasa sumber supaya dapat membezakan makna yang terkandung dalam teks asal dan dengan itu, mentakrifkan maksudnya dengan tepat.
  2. Mengetahui bahasa penerima: Mengikut pakar terjemahan hari ini, seseorang penterjemah harus juga menguasai bahasa penerima dengan sama baik, jika bukan dengan lebih baik.
  3. Pengetahuan dalam bidang yang diterjemahkan: Untuk menjamin supaya makna atau maklumat yang terkandung dalam teks asal dapat dipindahkan dengan tepat dan sempurna daripada bahasa sumber ke dalam bahasa penerima, seseorang penterjemah harus mengetahui dengan secukupnya bidang yang hendak diterjemahkan. Ini adalah penting, bukan sahaja untuk penterjemahan teks-teks khusus dan teknik, tetapi juga untuk penterjemahan karya-karya kesusasteraan.
  4. Mengetahui teori dan amalan terjemahan: Pada suatu masa dahulu, penterjemahan dianggap sebagai suatu tugas untuk mencari perkataan-perkataan padanan yang boleh menggantikan perkataan-perkataan asal dalam bahasa sumbernya. Ini tidak lagi dianggap benar kerana penterjemah juga bertanggungjawab untuk memindahkan idea, maklumat dan gaya teks yang diterjemahkan. Ini bermaksud bahawa penterjemahan perlu dibantu oleh ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam bidang teori dan kaedah terjemahan semasa menjalankan tugasnya.


Sejarah teori terjemahan

Etienne Dolet

Etienne Dolet (15091546) ialah bapa teori terjemahan yang merupakan orang pertama untuk mengemukakan lima prinsip pada tahun 1540 seperti berikut:

  1. Penterjemah harus benar-benar memahami isi dan hasrat penulis teks asal.
  2. Penterjemah harus menguasai bahasa sumber dan bahasa penerima terjemahan dengan baik.
  3. Penterjemah tidak boleh menterjemahkan perkataan demi perkataan.
  4. Penterjemah hendaklah menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan dalam bahasa penerima.
  5. Penterjemah harus mencipta semula kesan keseluruhan teks sumber yang betul melalui pemilihan dan susunan perkataan yang dibuatnya.

Abraham Cowley dan John Dryden

Abad ke-17 dan ke-18 memperlihatkan satu aliran terjemahan sastera yang radikal di Eropah, dan yang membuat terjemahan tanpa sebarang kongkongan, asalkan dirasakan terjemahan itu dapat mengekalkan semangat karya asal. Tokoh yang paling berpengaruh dalam aliran ini ialah Abraham Cowley (1618 - 1667). Beliau yang diketahui membuang dan menambah bahan-bahan terjemahan mengikut perkiraannya sendiri telah ditentang oleh John Dryden (1631 - 1700) yang menggelarkan terjemahan Cowley sebagai "tiruan". Menurut Dryden, terdapat tiga jenis terjemahan yang asas, iaitu:

  1. Metafrasa: penterjemahan perkataan demi perkataan, dan baris demi baris;
  2. Parafrasa: penterjemahan yang mengikut karya asal dengan rapat, tetapi yang diikuti ialah makna dan bukannya perkataanya;
  3. Tiruan: penterjemahan yang mengambil sikap bebas, iaitu mengubah kedua-dua perkataan dan makna sekali apabila dirasakan hal itu perlu demi kepentingan semangat teks tersebut.

George Campbell

Pada tahun 1789, George Campbell (1719 - 1796) menulis sebuah buku yang menurunkan tiga prinsip asas terjemahan yang baik:

  1. Mengekalkan makna yang terkandung dalam teks sumber;
  2. Mengekalkan semangat dan sifat-sifat teks sumber melalui keistimewaan-keistimewaan bahasa penerima;
  3. Memastikan supaya terjemahan itu terasa tulen serta mudah dan bersahaja perubahannya.

Alexander Fraser Tytler

Pada tahun 1790 yang berikut, Alexander Fraser Tytler (1747 - 1813) menerbitkan bukunya, Prinsip-prinsip Penterjemahan, yang juga menurunkan tiga prinsip terjemahan:

  1. Mengekalkan semua makna yang terkandung dalam teks sumber;
  2. Gaya karangan harus sama sifat dengan gaya teks sumber;
  3. Kesan sesuatu terjemahan mesti dapat dirasakan seperti karangan yang asal.

Beberapa teknik yang dikemukakan oleh Tytler bersifat amat moden. Menurut beliau, tambahan boleh dibuat sekiranya hal itu mempunyai hubungan yang penting dengan makna asal, ataupun dapat menjelaskan lagi hal tersebut. Pengurangan perkataan juga perlu dilakukan jika perkataan-perkataan itu tidak berfungsi dan hal itu tidak mengurangkan atau mencacatkan makna asal. Tentang kekaburan pada teks asal, beliau mengatakan bahawa penterjemah harus membuat keputusan sendiri dan memilih makna yang paling secocok dengn konteks terdekat, atau jalan pemikiran penulisnya. Menurutnya, mengekalkan kekaburan atau keragaman makna teks asal ialah suatu kesalahan pada pihak penterjemah, dan kesalahan yang lebih besar lagi ialah memberikan lebih daripada satu makna. Tytler mengkritik Dryden kerana menjadikan soal kesetiaan sebagai perkara kedua, dan menyamakan terjemahan dengan parafrasa.

Sedangkan Dryden ialah tokoh yang membuka zaman terjemahan yang terlalu bebas, Tytler ialah tokoh yang mengakhiri zaman tersebut.

Rujukan

  • Ainon Muhammad. Panduan Menterjemah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994. ISBN 983-62-2052-6
Kembali kehalaman sebelumnya