Share to: share facebook share twitter share wa share telegram print page

Yusuf Ma Dexin

Nama Cina
Nama keluarga (姓): 馬 (Pinyin: )
Nama diri (名): 德新 (Pinyin: Déxīn)
Nama kehormat (字): 復初 (Pinyin: Fùchū)

Yusuf Ma Dexin (1794-1874) ialah seorang sarjana Islam Hui dari Yunnan yang terkenal dengan kefasihan dan kemahiran dalam bahasa Arab dan bahasa Parsi serta pengetahuannya mengenai Islam.[1]

Biografi

Haji

Ma telah mengerjakan haji pada tahun 1841 dan meninggalkan China dengan mengikuti laluan yang berpusing-pusing; kerana perjalanan melalui laut dari China telah terganggu oleh Perang Candu, sebaliknya beliau memilih untuk bertolak bersama-sama dengan sekumpulan pedagang Islam yang sedang mengembara melalui darat. Selepas melepasi Xishuangbanna, mereka menuju ke arah selatan ke Burma, kemudian menaiki bot sungai menyusuri Sungai Irawati dari Mandalay ke Rangoon. Dari Rangoon, mereka dapat menaiki sebuah kapal wap yang membawa mereka ke Semenanjung Arab.[2] Setelah berada di Makkah beberapa ketika, beliau menetap di Timur Tengah selama lapan tahun; pertama sekali beliau pergi ke Kaherah, di sana beliau belajar di Universiti al-Azhar, kemudian mengembara ke serata Empayar Uthmaniyah, pergi ke Suez, Iskandariah, Baitulmaqdis, Istanbul, Cyprus, dan Rodos.[3]

Kembali ke China

Sebagai seorang Muslim yang terkemuka di Yunnan, Ma mula terlibat dalam Pemberontakan Panthay di Yunnan sejurus selepas beliau pulang dari mengerjakan haji. Pemberontakan Panthay yang meletus pada tahun 1856 sebagai sebahagian daripada siri kebangkitan-kebangkitan orang Islam dan kaum-kaum minoriti lain, diketuai sebahagian besarnya oleh Du Wenxiu; meskipun Ma tidak bersetuju dengan cara revolusi Du, beliau juga menggalakkan para pengikutnya untuk memberi bantuan dalam kebangkitan tersebut; kemudiannya, beliau cuba bertindak sebagai pendamai antara tentera kerajaan pusat dan tentera kebangkitan. [4] Walau bagaimanapun, di sebalik usaha beliau untuk membawa kepada perdamaian, kerajaan Dinasti Qing masih menganggap beliau sebagai pemberontak dan pengkhianat; beliau dihukum mati dua tahun selepas pemberontakan itu ditumpaskan.[1]

Hasil karya

Ma telah menghasilkan terjemahan al-Quran dalam bahasa Cina yang pertama di samping juga telah menulis banyak buku mengenai Islam dalam bahasa Arab dan Parsi.[1] Karya beliau yang paling terkenal telah memperkatakan perbandingan antara budaya Islam dan falsafah Confucianisme dalam usaha untuk mencari asas bersifat teori dan teologi bagi kewujudan bersama. Pada masa yang sama, beliau dengan keras mengkritik penyerapan unsur-unsur agama Buddha dan Taoisme ke dalam amalan Islam di China. Kerana beliau secara umumnya dianggap sebagai seorang pemikir Islam ortodoks, tulisan-tulisan beliau juga mempamerkan sikap positif terhadap tasawuf atau ajaran kebatinan Sufi.[4] Secara keseluruhannya, beliau telah menerbitkan lebih daripada 30 buah buku yang dapat dibahagikan kepada lima kategori.

  • Fikah dan falsafah: 四典要會, 大化總歸, 道行究竟, 理學折衷, 性命宗旨, 禮法啟愛 據理質證,
  • Takwim Islam dan sejarah: 寰宇述要 (Gambaran Dunia), 天方歷源 (Sejarah Tanah Arab)
  • Pengenalan dan analisis hasil karya pengarang-pengarang Islam lain di China, seperti Ma Zhu dan Liu Zhu: 真詮要錄, 指南要言, 天方性理註釋
  • Al-Quran: lima jilid pertama 寶命真經直解 (Kitab Suci Sebenar yang diwahyukan), terjemahan terawal makna-makna al-Quran ke dalam bahasa Cina
  • Tatabahasa Arab: 納哈五 (Nahawu/Nahu), 賽爾夫 (Saierfu/Saraf), 阿瓦米勒 (Awamile/Awamil)
  • Lain-lain: 朝覲途記 (Diari Haji), satu gambaran semasa beliau berada di Makkah; pada asalnya ditulis dalam bahasa Arab tetapi kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Cina oleh murid Ma yang bernama Ma Anli[5]

Lihat juga

Sumber

Catatan

  1. ^ a b c "Laluan-laluan Mubaligh Islam ke China dan Empat Ulama terkenal di China (Islamic missionaries to China and four famous Muslim scholars in China)". China Radio International. 2005-12-02. Dicapai pada 2007-02-16.
  2. ^ Dillon, Michael (1999). China's Muslim Hui Community: Migration, Settlement, and Sects. United Kingdom: Routledge. ISBN 0700710264.
  3. ^ MA Dexin (馬德新) (1988). 朝覲途記 (Diary of a Pilgrimage) (dalam bahasa Cina). Ningxia People's Publishing House. ISBN 7227002330. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  4. ^ a b YANG Guiping (楊桂萍) (December 2004). 馬德新思想研究 (Research into Ma Dexin's Ideas) (dalam bahasa Cina). Religion and Culture Publishing House. ISBN 7801236602.
  5. ^ WANG Jianping (王建平) (June 2004). "試論馬德新著作中的"天"及伊斯蘭教和儒教關係 (Discussion of the concept of "heaven" and the relation between Islam and Confucianism in Ma Dexin's works)". Shanghai Normal University. Dicapai pada 2007-02-16.

Bacaan lanjut

Kembali kehalaman sebelumnya