Konsep "Zaman Kelam" ini dicipta oleh penyokong-penyokong humanisme dan pada asalnya bertujuan sebagai kritikan umum terhadap sifat kesusasteraanLatin Akhir. Ahli-ahli sejarah kemudian memperluas erti istilah ini untuk merangkumi bukan sahaja kekurangan sastera Latin, tetapi juga kekurangan sejarah tertulis sezaman serta kekurangan pencapaian kebudayaan yang penting pada umumnya. Budaya popular memperluas istilah ini lagi sebagai alat untuk menggambarkan Zaman Pertengahan sebagai suatu tempoh kemunduran, dan memperluas erti memburuk serta memperbesar ruang lingkupnya.
Kebangkitan arkeologi dan bidang-bidang yang lain pada abad ke-20 telah banyak menjelaskan zaman tersebut dan membekalkan pemahaman nuansa tentang perkembangan-perkembangannya yang positif. Istilah-istilah penzamanan yang lain juga tampil ke muka: Zaman Purba Akhir, Zaman Pertengahan Awal, dan Zaman Penghijrahan, bergantung kepada segi-segi budaya yang ditegaskan.
Kebanyakan ahli sejarah moden menolak tanggapan bahawa era itu adalah "Zaman Kelam" dan menunjukkan bahawa idea ini adalah berdasarkan kejahilan tentang zaman itu, bersama-sama dengan stereotaip popular: banyak pengarang dahulu hanya mengandaikan bahawa era itu merupakan masa keganasan dan keadaan yang tidak berkembang, dan menggunakan andaian ini untuk membuktikan dirinya.
Di Britain dan Amerika Syarikat, frasa "Zaman Kelam" kekadang digunakan oleh ahli-ahli profesional dengan syarat-syarat yang ketat sebagai satu istilah penzamanan. Penggunaannya tidak bertujuan untuk menilai zaman itu, tetapi hanya untuk bermaksud ketiadaan rekod tertulis, iaitu "kelam" dan juga "senyap".
Petrarch dan "Zaman Kelam"
Pada umumnya, istilah "Zaman Kelam" telah dianggap sebagai dicipta oleh Petrarch pada dekad 1330-an. Menulis tentang mereka yang datang sebelumnya, beliau berkata bahawa "di tengah-tengah kesilapan-kesilapan, terserlah tokoh-tokoh genius yang tidak kurang tajam dengan mata mereka, walaupun mereka diselubungi oleh kegelapan dan kemuraman yang teruk" [1]. Penulis-penulis Kristian menggunakan metafora tradisional seperti "cahaya lawan kegelapan" untuk memerihalkan "baik lawan jahat". Petrarch merupakan orang pertama yang memberi maksud duniawi kepada metafora ini melalui pembalikan penggunaannya. Zaman Purba Klasik, lama dianggap sebagai "zaman kelam" disebabkan ketiadaan agama Kristian, kini diperlihatkan oleh Pertrarch sebagai zaman "cahaya" kerana pencapaian-pencapaian kebudayaannya, manakala zaman Petrarch sendiri yang tidak mempunyai pencapaian-pencapaian kebudayaan, kini diperlihatkan sebagai zaman kelam.
Mengapakah Petrarch memanggil zamannya sebagai zaman kelam? Sebagai orang Itali, Petrarch melihatkan Empayar Rom dan zaman klasik sebagai penyataan-penyataan keunggulan Itali. [2]. Beliau menghabiskan banyak masanya untuk membuat perjalanan ke Eropah untuk menemui semula dan menerbitkan semula teks klasik Latin dan Greek. Petrarch hendak memulihkan bahasa Latin klasik kepada ketulenan dahulu. Penyokong-penyokong humanisme memperlihatkan tempoh 900 tahun sebelumnya sebagai tempoh genangan. Mereka memperlihatkan sejarah berkembang bukan mengikut Enam Zaman Dunia yang merupakan garis kasar keagamaanSt. Augustine, tetapi dari segi kebudayaan (atau duniawi) melalui perkembangan progresif idaman-idaman klasik, kesusasteraan, dan kesenian.
Petrarch menulis bahawa sejarah mempunyai dua zaman: Zaman KlasikRom dan Greek, diikuti oleh suatu tempoh kegelapan yang beliau lihat diri sebagai masih menghadapi. Penyokong-penyokong humanisme mempercayai bahawa Empayar Rom akan bangkit semula dan memulihkan ketulenan kebudayaan klasik. Oleh itu, konsep Zaman Kelam Eropah telah dimulakan oleh penyokong-penyokong humanisme sebagai kempen ideologi untuk mempromosikan budaya klasik dan dengan itu, tidak merupakan suatu analisis sejarah yang berkecuali. Zaman Kelam direka untuk menyatakan rasa tidak setuju terhadap satu zaman, dan promosi zaman yang lain.
Menjelang akhirt abad ke-14 dan awal abad ke-15, penyokong-penyokong humanisme seperti Leonardo Bruni mempercayai bahawa mereka telah mencapai zaman baru ini, dan Zaman Moden yang merupakan zaman ketiga bermula. Zaman sebelum diri mereka yang dipanggil oleh Petrarch sebagai "Zaman Kelam" kini menjadi Zaman "Pertengahan" antara Zaman Klasik dan Zaman Moden. Penggunaan istilah "Zaman Pertengahan" digunakan buat pertama kali oleh Flavio Biondo pada sekitar 1439.
Konsep Zaman Kelam selepas Pembaharuan Renaissance
Ahli-ahli sejarah sebelum abad ke-20 menulis tentang Zaman Pertengahan dengan campuran sentimen positif and negatif, tetapi terutamanya negatif.
Reformasi
Semasa Reformasi Protestan pada abad ke-16 dan ke-17, pengikut-pengikut Protestan menulis tentang zaman itu sebagai satu tempoh kerosakan akhlakKatolik. Serupa dengan tulisan Petrarch yang tidak merupakan bidasan terhadap agama Kristian pada dirinya — selain daripada humanismenya, Petrarch terlalu sibuk dengan usaha-usahanya untuk mencari-cari Tuhan — tulisan-tulisan Protestan ini juga bukan bidasan terhadap agama Kristian, tetapi sebaliknya merupakan lawannya: dorongan untuk memulihkan apa yang pengikut-pengikut Prostestan melihat sebagai agama Kristian yang "lebih tulen". Sebagai tindak balas terhadap serangan-serangan ini, reformis-reformis Roman Katolik mengembangkan suatu imej balasan yang menggambarkan zaman itu sebagai satu tempoh keharmonian sosial dan keagamaan, dan bukannya "kelam" walau sedikit pun.
Zaman Kesedaran
Semasa abad ke-17 dan ke-18 dalam Zaman Kesedaran, agama telah diperlihatkan sebagai bercanggah dengan hujah. Disebabkan Zaman Pertengahan merupakan "Zaman Kepercayaan" yang dikuasai oleh agama, zaman itu telah diperlihatkan sebagai bercanggah dengan hujah dan oleh itu, bercanggah dengan Kesedaran. Immanuel Kant dan Voltaire merupakan dua orang penulis Zaman Kesedaran yang lantang bersuara terhadap pembidasan Zaman Pertengahan yang dikuasai oleh agama sebagai suatu zaman kemerosotan sosial. Banyak tanggapan moden yang negatif tentang zaman itu datangnya daripada pengarang-pengarang Zaman Kesedaran. Bagaimanapun, serupa dengan Petrarch yang memperlihatkan diri sebagai berada di ambang "zaman baru" mengkritik abad-abad sehingga masa dirinya, penulis-penulis Zaman Kesedaran juga mengkritik abad-abad sehingga masa mereka. Keadaan ini berlangsung lama selepas masa Petrarch, disebabkan oleh penguasaan agama dan percanggahan yang masih amat biasa pada abad ke-17 dan selepasnya, walaupun tidak begitu teruk.
Akhirnya, suatu evolusi muncul melalui sekurang-kurang tiga cara. Lama-kelamaan, metafora "cahaya lawan kekelaman" Petrarch yang asal kemudian diperluas, sekurang-kurang secara tersirat. Walaupun jika penyokong-penyokong humanisme awal selepas beliau tidak lagi memperlihatkan diri sebagai sedang hidup dalam zaman "kelam", zaman mereka masih belum cukup "terang" dari sudut pandangan penulis-penulis abad ke-18 yang memperlihatkan diri sebagai hidup dalam "Zaman Kesedaran" yang benar. Penulis-penulis abad ke-18 itu juga meluaskan tempoh pengutukan mereka untuk merangkumi apa yang kini dipanggil Zaman Moden Awal. Selain itu, metafora "kekelaman" Petrarch yang digunakannya khususnya untuk mengesali apa yang dilihatnya sebagai kekurangan pencapaian duniawi, kini ditingkatkan untuk mengambil maksud anti agama yang eksplisit terhadap taktik-taktik keras golongan paderiKatolik.
Walaupun demikian, istilah "Zaman Pertengahan" yang digunakan oleh Biondo dan penyokong-penyokong humanisme yang awal selepas Petrarch, merupakan nama yang biasa digunakan sebelum abad ke-18 untuk menandakan tempoh sehingga Zaman Pembaharuan Rennaissance. Rekod terawal untuk penggunaan perkataan "pertengahan" dalam bahasa Inggeris ialah tahun 1827. Istilah "Zalam Kelam" juga digunakan ketika itu tetapi menjelang abad ke-18, istilah ini cenderung digunakan untuk bahagian awal zaman "pertengahan" itu. Tarikh-tarikh permulaan dan pengakhiran berbeza-beza. "Zaman Kelam" dianggap sebagai:
bermula pada tahun 410 Masihi oleh sesetengah orang, dan pada tahun 476 Masihi oleh orang-orang yang lain ketika tiadanya lagi maharaja di Rom;
Pada awal abad ke-19, penyokong-penyokong Romantisisme menterbalikkan penilaian negatif oleh pengkritik-pengkritik Zaman Kesedaran. Perkataan "Gothik" merupakan satu istilah aib yang seakan-akan dengan perkataan "Vandal" sehingga pertengahan abad ke-18, apabila sebilangan orang "goth" Inggeris yang berkeyakinan kendiri, seperti Horace Walpole, memulakan Pemulihan Gothik dalam bidang-bidang seni. Disebabkan itu, generasi Romantisisme yang berikutnya mulai mempunyai tanggapan mempesona terhadap "Zaman Kepercayaan". Tanggapan ini menggambarkan satu pandangan romantik untuk suatu Zaman Keemasankesateriaan sebagai tindak balas terhadap dunia yang dikuasai oleh rasionalisme Zaman Kesedaran yang mengutamakan taakulan berbanding dengan emosi. Zaman Pertengahan diperlihatkan dengan nostalgia yang romantik sebagai suatu tempoh keharmonian sosial dan persekitaran, serta tempoh ilham rohaniah, berbanding dengan keterlaluan Revolusi Perancis, dan khususnya dengan pergolakan persekitaran dan sosial, serta utilitarianisme tandus yang diakibatkan oleh revolusi perindustrian yang sedang muncul. Pandangan penyokong-penyokong Romantisisme terhadap abad-abad yang awal ini kini masih dapat diperlihatkan dalam pesta-pesta ria dan perayaan-perayaan yang meraikan zaman itu dengan kostum-kostum dan peristiwa-peristiwa (sila lihat "Pesta ria Zaman Pembaharuan Renaissance").
Serupa dengan Petrarch yang menterbalikkan maksud "cahaya lawan kekelaman", penyokong-penyokong Romantisisme juga menterbalikkan penilaian pengkritik-pengkritik Zaman Pembaharuan. Bagaimanapun, zaman yang dianggap sebagai ideal oleh penyokong-penyokong Romantisisme merupakan apa yang kini dipanggil Zaman Pertengahan Tinggi serta Zaman Moden Awal. Dari satu segi, ini merupakan keterbalikan aspek agama terhadap penilaian Petrarch kerana abad-abad yang kemudian merupakan tempoh semasa kuasa dan prestij sejagat Gereja mencapai kemuncaknya. Bagi banyak pengguna istilah ini, ruang lingkup "Zaman Kelam" beransur-ansur berpisah dari zaman itu dan kini menandakan, terutamanya abad-abad yang awal selepas kejatuhan Rom.
Penggunaan akademik moden
Apabila kajian ilmiah moden terhadap Zaman Pertengahan muncul pada abad ke-19, istilah "Zaman Kelam" dikekalkan pada peringkat awal, dengan semua nada kritisnya. Walaupun istilah itu tidak digunakan secara formal (universiti-universiti menamakan pusat pengajiannya sebagai "sejarah zaman pertengahan", bukannya "sejarah zaman kelam"), istilah itu digunakan secara meluas, termasuk dalam karya klasik seperti Sejarah Kemerosotan dan Kejatuhan Empayar Rom oleh Edward Gibbon. Dalam klasik tersebut, Gibbon mengutarakan kebenciannya terhadap zaman kelam yang karut dan "dipandu oleh paderi".
Bagaimanapun, awal abad ke-20 memperlihatkan suatu penilaian semula yang radikal terhadap Zaman Pertengahan dan dengan itu, istilah kekelaman dipersoalkan. A.T. Hatto, penterjemah untuk banyak karya Zaman Pertengahan bagi siri Klasik Penguin, merupakan satu contoh apabila beliau berkata dengan penuh ironi tentang "abad-abad cergas dan bersemangat yang kita memanggil kelam". Adalah jelas bahawa cendekiawan-cendekiawan serius harus mentakrif semula istilah itu ataupun menggugurkannya.
Apabila istilah "Zaman Kelam" digunakan oleh ahli-ahli sejarah pada hari ini, istilah itu bertujuan untuk bersifat neutral, iaitu untuk mengungkapkan idea bahawa peristiwa-peristiwa pada zaman itu sering kelihatan "kelam" bagi kita, disebabkan kekurangan rekod-rekod sejarah, berbanding dengan zaman-zaman yang kemudian. Dengan kata yang lain, kekelaman zaman itu adalah pada kita, bukannya pada mereka. Bagaimanapun, oleh sebab tiadanya kekurangan maklumat tentang Zaman Pertengahan Tinggi dan Zaman Pertengahan Akhir, rujukan takrif ini perlu dihadkan kepada Zaman Pertengah Awal. Umpamanya, Britain pada abad ke-5 dan ke-6, iaitu puncak serangan-serangan Saxon dengan ketandusan beritanya, mungkin boleh dianggap sebagai "Zaman Kelam yang paling kelam", berbanding dengan era Rom sebelumnya atau abad-abad yang menyusul. Lebih ke timur, keadaan yang sama terdapat di Dacia, bekas provinsi Rom, ketika sejarah selepas pengunduran Rom tidak dicatat selama berabad-abad kerana orang-orang Slav, Avar, Bulgar, dan orang-orang lain bersaing untuk kekuasaan di lembangan Danube, dengan peristiwa-peristiwa di sana masih dipertikaikan. Bagaimanapun pada masa itu, Empayar Rom Timur dan Kekhalifahan Abbasid sedang mengalami Zaman Keemasan Islam, berbanding kekelaman. Oleh itu, penggunaan istilah harus juga membezakan kawasan geografi. Yang ironiknya, sedangkan konsep Petrarch adalah secocok dengan kebanyakan zaman "Kristian" selepas Rom jahiliah, penggunaan neutral untuk istilah ini pada hari ini menumpukan kepada budaya-budaya yang kurang bersifat "Kristian" dan oleh itu, tidak banyak dikaji oleh ahli-ahli sejarah Gereja.
Bagaimanapun, sejak pertengahan abad ke-20, semakin banyak cendekiawan memulakan kritikan terhadap penggunaan istilah itu, walaupun penggunaan itu tidak bersifat penilaian. Terdapatnya dua kritikan yang utama. Pertama, kemungkinan untuk menggunakan istilah "zaman kelam" dengan maksud yang neutral secara berkesan telah dipersoalkan; cendekiawan-cendekiawan mungkin bertujuan untuk menggunakan istilah itu dengan maksud neutral, tetapi ini tidak semestinya bermakna bahawa pembaca-pembaca biasa akan memahami sedemikian. Kedua, ledakan pengetahuan dan wawasan baru terhadap sejarah dan budaya Zaman Pertengahan Awal yang dicapai oleh kesarjanaan abad ke-20 bermaksud bahawa abad-abad itu tidak lagi kelam dalam erti kata "tidak kita tahu". Oleh itu, banyak penulis akademik langsung tidak hendak menggunakan istilah ini.
Penggunaan popular moden
Istilah "Zaman Kelam" masih digunakan dalam budaya popular pada masa moden. Kempen ideologi Petrarch untuk mewarnakan Zaman Pertengahan dari sudut yang negatif telah amat berkesan sehingga penggunaan istilah ini masih popular hampir 700 tahun kemudian. Matlamat penyokong humanisme untuk menghidupkan semula dan menghormati karya-karya klasik purba telah diinstitusikan melalui penubuhan-penubuhan universiti pada masa itu, dan sekolah-sekolah pada sepanjang abad-abad yang menyusul masih menepati asal-asal humanisme mereka. Pelajar sistem-sistem pendidikan kini tahu benar tentang karya-karya pengarang Greek, tetapi tidak banyak yang pernah didedahkan kepada karya pemikir-pemikir Zaman Pertengahan seperti Peter Abelard atau Sigerus dari Brabant. Walaupun program-program jurusan klasik masih kuat, pelajar-pelajar Zaman Pertengahan tidak sebegitu biasa: umpamanya Charles Haskins, ahli sejarah zaman pertengahan yang pertama di Amerika Syarikat, tidak dihargai sehingga awal abad ke-20, dan bilangan pelajar jurusan Zaman Pertengahan masih amat kecil pada hari ini berbanding dengan bilangan pelajar jurusan klasik. Filem-filem dan novel-novel sering menggunakan istilah "Zaman Pertengahan" dalam maksud tersirat sebagai zaman yang kurang beradab, berbanding zaman kita. Filem Ular Sawar Monty dan Piala Suci (Monty Python and the Holy Grail) menggambarkan kesatria-kesatria dan kesatriaan-kesatriaan secara lucu, mengikut tradisi yang dimulakan oleh karya Don Quixote.
Ahli-ahli sejarah pada hari ini menganggap bahawa konotasi-konotasi negatif untuk perkataan "kelam" dalam "Zaman Kelam" menidakkan kebergunaan istilah itu sebagai pemerihalan sejarah. Walaupun begitu, konsep Petrarch dan penyokong-penyokong humanisme awal yang lain selepasnya sebagai satu zaman yang berbeza dengan zaman "moden" kita telah kekal, dan istilah ini masih digunakan melalui berbagai-bagai takrif dalam kedua-dua budaya popular serta huraian akademik.
Petikan
"Ada apa lagi tentang semua sejarah, jika bukan pujian Rom?" – Petrarch
"Setiap pengarang purba yang masyhur yang telah saya jumpai semula memasukkan satu kesalahan atau lagi satu punca keaiban baru kepada kewajipan yang telah dikenakan pada generasi-generasi yang lebih awal. Tidak puas hati dengan ketandusan diri yang memalukan, mereka membenarkan hasil pemikiran orang lain serta tulisan nenek moyang mereka yang dihasilkan melalui kerja keras dan penggunaan dimusnahkan kerana pengabaian yang sungguh menjengkelkan. Walaupun mereka tidak mempunyai sebarang hasil sendiri untuk diwariskan kepada mereka yang akan datang selepas diri mereka, mereka merampas daripada generasi-generasi yang akan datang warisan nenek moyang mereka." — Petrarch
"Takdir saya adalah untuk hidup di tengah-tengah ribut yang berbeza-beza dan mengelirukan. Tetapi mungkin untuk kamu, jika seperti yang saya harap dan ingin bahawa kamu akan hidup lama selepasku, terdapat zaman lebih baik yang akan menyusul. Apabila kegelapan telah dipencarkan, keturunan-keturunan dapat datang semula dalam keserian dahulu yang tulen." — Petrarch
"Zaman Pertengahan ialah satu istilah yang malang. Istilah itu tidak dicipta sehingga zaman itu sudah lama lepas. Penghuni-penghuni pada Zaman Pertengahan tidak akan mengenalnya. Mereka tidak tahu bahawa mereka sedang hidup di tengah; mereka berfikir dengan agak betul bahawa mereka sedang hidup dalam zaman pencapaian yang terkini. — Morris Bishop, Zaman Pertengahan (1968)
". . . jika kelam, kekelaman itu adalah kegelapan rahim." [3] — Lynn White
Bibliografi
Mommsen, Theodore E., "Petrarch's Conception of the 'Dark Ages'", Speculum, Jilid 17, No. 2. (April 1942), m.s. 226-242.