Share to: share facebook share twitter share wa share telegram print page

Grehaun kecil Itali

Grehaun kecil Itali
Nama lain
  • Greyhound kecil Itali
  • Grehaun Itali
  • Greyhound Itali
  • Anjing pemburu penglihatan Itali
Negara asalItali
Trait
Berat tidak melebihi 5 kg (11 lb)[1]
Tinggi 32–38 cm (13–15 in)[1]
Warna hitam padu, kelabu, atau putih telur
Anjing (Canis lupus familiaris)

Grehaun kecil Itali, greyhound kecil Itali,[a] grehaun Itali, greyhound Itali, atau anjing pemburu penglihatan Itali[b] ialah satu baka anjing pemburu penglihatan kecil dari Itali.[2] Ia dibiakbakakan untuk memburu Eropah dan Eropah, tetapi kebanyakannya dibela sebagai anjing teman.

Sejarah

Patung marmar yang dipercayai mewakili anjing jenis ini, abad kedua Masihi, ditemukan di Lanuvio pada 1774, kini di Muzium Vatikan

Anjing kecil daripada jenis anjing pemburu penglihatan telah lama popular dalam kalangan bangsawan dan diraja. Antara mereka yang dipercayai telah membelanya merupakan Friedrich II, Duke Swabia; anggota keluarga D'Este, Medici, dan Visconti; raja-raja Perancis Louis XI, Charles VIII, Charles IX, Louis XIII, dan Louis XIV;[3] Friedrich Agung dari Prusia;[4]:519 Anna dari Denmark; Yekaterina Agung; dan Ratu Victoria.[5] Anjing daripada jenis ini telah kerap diwakili dalam arca – termasuk patung Rom abad kedua yang kini berada di Muzium Vatikan – dan lukisan-lukisan, terutamanya oleh Giotto, Sassetta, dan Tiepolo.[3][6]

Anjing daripada jenis ini dibawa pada separuh pertama abad kesembilan belas ke United Kingdom. Di sana, ia dikenali sebagai Italian Greyhound ("grehaun Itali");[7]:44 jilid pertama Takwim dan Buku Pembaka The Kennel Club, yang diterbitkan pada tahun 1874, menyenaraikan empat puluh ekor anjing baka ini.[8]:597 Sebuah persatuan baka, iaitu Italian Greyhound Club, diasaskan di Britain pada tahun 1900.[9][10]:157 Pendaftaran oleh American Kennel Club bermula pada tahun 1886.[5]

Sejarah grehaun Itali moden bermula awal pada tahun-tahun terakhir abad kesembilan belas. Sejumlah enam ekor anjing ini ditunjukkan pada tahun 1901 di Milan dan di Novara, dua ekor di Turin pada tahun 1902, dan seekor di Udine pada tahun 1903. Bilangan mula meningkat hanya selepas Perang Dunia Pertama, sebahagiannya atas hasil kerja dua orang pembiak baka, iaitu Emilio Cavallini dan Giulia Ajò Montecuccoli degli Erri.[11][6] Dalam tempoh pasca-Perang ini, grehaun Itali dibiakbakakan terutamanya di Itali, di Perancis, dan di Jerman dan sesetengah pembiak baka Itali mengimport anjing dari luar negara. Daripada empat puluh lima ekor anjing yang didaftarkan pada tahun 1926–1927 oleh Kennel Club Italiano (seperti yang dikenali ketika itu), dua puluh lapan ekor lahir di Itali dan tujuh belas ekor diimport.[11]

Peristiwa Perang Dunia Kedua membawa grehaun Itali hampir kepada kepupusan dan bilangannya mula pulih hanya pada tahun 1950-an, terutamanya selepas tahun 1951, apabila Maria Luisa Incontri Lotteringhi della Stufa membawa anjing betina berpengaruh, Komtesse von Gastuna, dari Austria.[11][6] Baka ini diterima secara muktamad oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada Oktober 1956[2] dan, pada bulan November tahun itu, sebuah persatuan baka, Circolo del Levriero Italiano ("Kelab Grehaun Itali"), dibentuk di bawah naungan Ente Nazionale Cinofilia Italiana; persatuan ini kemudiannya dinami semula Circolo del Piccolo Levriero Italiano ("Kelab Grehaun Kecil Itali").[11]

Dalam tempoh sembilan tahun dari tahun 2011 hingga tahun 2019, Ente Nazionale Cinofilia Italiana merekodkan sejumlah 2557 pendaftaran baharu bagi grehaun Itali, dengan minimum 213 dan maksimum 333 setahun.[3]

Ciri

Seekor dewasa dengan seekor anak

Grehaun Itali ialah anjing pemburu penglihatan terkecil.[5] Ia berukuran tidak lebih berat daripada 5 kg (11 lb) dan berdiri setinggi 32–38 cm (13–15 in) pada paras kelasa.[1] Ia berdada dalam dengan abdomen berlisu, tungkai langsing panjang, dan leher panjang. Kepalanya kecil, memanjang, dan sempit.[1] Gaya jalannya patut melangkah tinggi dan melonjak dengan baik dengan dorongan baik ke hadapan dalam ligasan dan derapan pantas.[1]

Lapis bulunya mungkin berwarna hitam padu, kelabu, atau putih telur; tanda-tanda putih diterima pada dada dan kaki sahaja.[1]

Kesihatan

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 14 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[12] Di Amerika Syarikat, Ortheopedic Foundation for Animals mendapati bahawa grehaun Itali paling kurang terjejas akibat displasia pinggul antara 157 baka yang dikaji, dengan 0 kejadian.[13]

Kegunaan

Fungsi asli grehaun Itali ialah memburu kelinci dan arnab; ia mampu memecut sehingga 60 km/j (37 mph).[14] Walaupun ditempatkan dalam kumpulan anjing pemburu penglihatan atau anjing coursing kelinci oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa dan Ente Nazionale Cinofilia Italiana,[2][3] grehaun Itali – seperti pada masa lalu – dibela kebanyakannya sebagai anjing teman.[15] Ia dikelaskan sebagai baka mainan oleh American Kennel Club dan The Kennel Club United Kingdom.[5][16]

Catatan

  1. ^ Jawi: ݢريهاءون کچيل ايتالي; Itali: piccolo levriero Italiano
  2. ^ Jawi: ݢريهاءون ايتالي; انجيڠ ڤمبورو ڤڠليهتن ايتالي; bahasa Inggeris: Italian sighthound; Italian greyhound

Rujukan

  1. ^ a b c d e f Piccolo levriero italiano (dalam bahasa Itali). Ente Nazionale Cinofilia Italiana. Dicapai pada 25 Januari 2024.
  2. ^ a b c "FCI breeds nomenclature: PICCOLO LEVRIERO ITALIANO (200)" [Tatanama baka FCI: GREHAUN KECIL ITALI (200)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 25 Januari 2024.
  3. ^ a b c d Piccolo levriero italiano: Storia (dalam bahasa Itali). Ente Nazionale Cinofilia Italiana. Dicapai pada 25 Januari 2024.
  4. ^ Morris, Desmond (22 November 2001). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Ebury Publishing. ISBN 9780091870911. OCLC 47063457.
  5. ^ a b c d Italian Greyhound Dog Breed Information (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 25 Januari 2024.
  6. ^ a b c Bitte Ahrens, Pierluigi Primavera, Marcello Poli (2018). Il Piccolo Levriero Italiano: Commento allo standard FCI (dalam bahasa Itali). Ente Nazionale Cinofilia Italiana. Dicapai pada 25 Januari 2024.
  7. ^ Walsh, John Henry (1859). The Dog in Health and Disease [Kesihatan dan Penyakit Anjing] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Longman, Green, Longman and Roberts. OCLC 23099747.
  8. ^ Pearce, Frank C. S., penyunting (1874). The Kennel Club Stud Book [Buku Pembaka The Kennel Club] (dalam bahasa Inggeris). 1. London, United Kingdom: "The Field" Office. OCLC 9846133.
  9. ^ Circolo del Piccolo Levriero Italiano (dalam bahasa Itali). Circolo del Piccolo Levriero Italiano. Diarkibkan pada 14 Jun 2004.
  10. ^ Wimhurst, Cecil Gordon Eugene (1969). The Complete Book of Toy Dogs [Buku Lengkap Anjing Mainan] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: G. P. Putnam's Sons. OCLC 4115.
  11. ^ a b c d Circolo del Piccolo Levriero Italiano (dalam bahasa Itali). Ente Nazionale Cinofilia Italiana. Dicapai pada 25 Januari 2024.
  12. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan). PMID 38302530 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 267382263 Check |s2cid= value (bantuan).
  13. ^ Hip Dysplasia Statistics (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan pada 10 Februari 2010.
  14. ^ Piccolo Levriero Italiano (dalam bahasa Itali). Ente Nazionale Cinofilia Italiana. Diarkibkan pada 7 Julai 2014.
  15. ^ Cenni Storici (dalam bahasa Itali). Circolo del Piccolo Levriero Italiano. Diarkibkan pada 15 Jun 2004.
  16. ^ Italian Greyhound (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 25 Januari 2024.

Bacaan lanjut

  • Incontri, Maria Luisa (1956). Il piccolo levriero italiano nell'arte e nella storia [Grehaun Kecil Itali dalam Seni dan Sejarah] (dalam bahasa Itali). Firenze, Itali: Sansoni. OCLC 14409162.
  • [s.n.] (2004). Le razze italiane (dalam bahasa Itali). Milan, Itali: Ente Nazionale Cinofilia Italiana.
Kembali kehalaman sebelumnya