Perihal pertama bagi anjing pemburu bau Iberia muncul dalam bab 39 Libro de la Montería de Alfonso XI ("Buku Perburuan Alfonso XI"), sebuah buku besar Zaman Pertengahan abad ke-14 untuk seorang raja Castilla.[1] Selepas itu, pelbagai perihal bagi anjing pemburu bau Iberia muncul dalam beberapa buah buku perburuan Sepanyol dari abad ke-15, ke-16, dan ke-17: dua contoh merupakan Tratado de la Montería ("Karangan tentang Perburuan")[2] dan buku Renaisans lewat karya Molina, Discurso de la Montería ("Wacana tentang Perburuan"), yang dikarang pada tahun 1582.[3]
Semasa abad-abad ini, anjing pemburu bau Sepanyol daripada jenis itu yang bakal menjadi baka anjing pemburu Sepanyol terutamanya digunakan dalam pemburuan beruang perang dan babi hutan. Ia juga sangat kerap digunakan untuk menjejak buruan tercedera oleh para pemburu yang dipanggil ballestero ("pemanah"; kerana mereka menggunakan busur silang). Pastinya anjing ini telah digunakan sejak zaman sangat purba dalam caza a traílla ("perburuan bercawak") untuk mengetahui lokasi rehat beruang, babi hutan, dan serigala.
Apabila senjata api semakin menjadi umum di Sepanyol utara dan populasi buruan besar menurun, para pemburu mempelbagaikan buruan mereka dan mula mengarah anjing mereka untuk memburu arnab, dalam perburuan yang dipanggil caza de la liebre a la vuelta, namun pemburuan babi hutan dan rusa roe berterusan di kawasan lain.
Kini, populasi buruan besar di Sepanyol utara telah meningkat dengan banyak dan penggunaan anjing pemburu bau Sepanyol telah dipulihkan, dengan piawaian tetap sejak tahun 1982,[4] terutamanya dalam pemburuan babi hutan, dalam jenis tradisional pemburu babi hutan yang dipanggil caza a traílla.
Kegunaan
Anjing pemburu Sepanyol ialah anjing pemburu bau dengan deria penghiduan yang hebat; menurut sifatnya, ia merupakan jenis lama bagi hound Eropah dengan gaya perburuan bau malis. Ia mempunyai lolongan tersendiri yang lantang dan meledak. Pemburu dapat mengetahui fasa-fasa berlainan bagi perburuan dengan mendengar anjingnya: semasa berburu, suaranya berubah daripada lolongan lantang dan panjang kepada salakan pendek putus-putus, yang menandakan penemuan buruan. Di Sepanyol utara jauh, pola salakan pendek putus-putus disebut latido atau llatido.
Di selatan, anjing pemburu kebanyakannya digunakan dalam pemburuan arnab, serupa dengan anjing pemburu baset yang lebih dikenali. Kaedah tradisional kegemaran orang selatan ialah permulaan awal kepada kelinci supaya anjing dapat mengerjakan jejak sehingga mendekati dan melemahkan mangsa, lalu mengarahkan buruan ke arah laluan pemburu. Jenis perburuan ini dipanggil caza de la liebre a la vuelta ("pemburuan kelinci sehingga kepulangan").
Di pergunungan Sepanyol Utara, anjing pemburu Sepanyol kerap digunakan dalam pemburuan babi hutan. Jenis perburuan ini dipanggil caza a traílla yang melibatkan anjing yang memimpin pemburu secara bercawak. Jenis perburuan ini adalah sangat tua dan tradisional, yang asal usulnya hilang ditelan zaman. Jenis perburuan ini terdiri daripada pencarian lokasi rehat bagi babi hutan pada siang hari dengan bantuan anjing pemburu bau bercawak. Pemburu (yang dipanggil montero) dan anjing pemburu bau menjejak babi hutan sehingga mengetahui lokasi rehat bagi babi hutan berkenaan. Apabila lokasi ini pasti, oleh sebab pemburu dan anjing telah mengelilingi hutan tanpa ada jejak babi hutan ke luar hutan, sesetengah pemburu dengan senjata api menunggu di keliling hutan dan sesetengah anjing dilepaskan untuk menjejak. Anjing ini menggarah babi hutan dan mengejarnya sehingga pemburu dapat menembaknya.
Anjing pemburu ini memiliki perwatakan jelas berdikari oleh sebab ia telah dibiakbakakan untuk berburu sendirian atau bersama dengan seekor atau dua ekor lagi anjing. Oleh sebab itu, baka ini bukan baka kawanan. Ia kerap ditemukan bersama-sama dengan grifon dalam pemburuan babi hutan dan digunakan dalam penghasilan grifon Asturia-Cantabria, iaitu jenis grifon yang paling kerap ditemukan di serata Sepanyol.[5]
Penampilan
Anjing pemburu Sepanyol ialah anjing bersaiz sederhana, dengan tubuh yang lebih panjang daripada ukuran tingginya. Jumlah tingginya patut bermaksimumkan 52–57 sentimeter (20–22 in) pada jantan dan 48–53 sentimeter (19–21 in) pada betina. Ia mempunyai telinga sangat panjang yang serupa dengan baka-baka hound lain yang dibiakbakakan untuk penjejakan bau; telinganya apabila diunjurkan patut mencapai hujung hidung dan pada umumnya berputar menjauh dari arah kepala dalam rupa bergulung-gulung sedikit. Tungkainya dan kakinya padat, tetapi kuat, serupa dengan beagle. Matanya patut berwarna ambar, dengan wajah penuh rasa hormat dan menakutkan. Ekornya patut menirus dan mirip cemeti, kerap dengan taburan bulu putih di hujung. Biasanya, lapis bulu patut licin, pendek, dan berkilat; ia patut mempunyai dasar putih dengan mana-mana gabungan tompok lemon, jingga, atau merah-perang padanya tanpa corak bintik atau merle, seperti kuda bercat. Keseluruhan perangainya ialah kelembutan dan ketenangan, tetapi juga kesungguhan dalam penjejakan dan keberanian apabila menghadap haiwan besar seperti babi hutan jantan.
Perwatakan
Terdapat banyak anjing pemburu Sepanyol di tempat perlindungan haiwan di Sepanyol, biasanya dengan peluang tipis untuk diadopsi, oleh sebab tanggapan salah bahawa ia bukan anjing peliharaan keluarga yang baik;[5] walau bagaimanapun, ia mempunyai perwatakan sangat pengasih, tentang, dan suka mengalah dan dapat berbaik dengan keluarga aktif di rumah luar bandar.[6][7][8][9] Anjing pemburu Sepanyol, mula-mula sekali, ialah anjing pekerja, yang hidup berkembang dalam peranan aslinya sebagai pemburu; walau bagaimanapun, sifat penyayang dan berbaktinya menjadikannya anjing teman yang baik. Anjing bersemangat tinggi ini gembira untuk meluangkan masa bersama dengan ahli keluarganya yang muda-muda tetapi ia tidak bertolak ansur terhadap layanan biabad atau kasar daripada keluarganya.[10] Anjing pemburu Sepanyol mempunyai reputasi baik dengan anjing lain kerana ia digunakan secara meluas sebagai pemburu kawanan kecil. Keagresifan anjing adalah agak kurang umum untuk anjing pemburu Sepanyol. Walaupun mempunyai naluri penjejakan tinggi, anjing pemburu Sepanyol dapat tinggal bersama dengan haiwan peliharaan keluarga lain.[10]
Catatan
^Jawi: انجيڠ ڤمبورو سڤاڽولcode: ms is deprecated ; Sepanyol: sabueso españolcode: es is deprecated ;[11]bahasa Inggeris: Spanish houndcode: en is deprecated [12]
Rujukan
^"39: Cuales hechuras deben ser los sabuesos y las sabuesas". Libro de la Montería de Alfonso XI [Buku Perburuan Alfonso XI] (dalam bahasa Sepanyol). 1300-an. Check date values in: |year= (bantuan)
^seorang pemburu dari Sierra de Segura (1400-an). Tratado de la Montería [Karangan tentang Perburuan] (dalam bahasa Sepanyol). Check date values in: |year= (bantuan)
^Gonzalo Argote de Molina (1582). Discurso de la Montería [Wacana tentang Perburuan] (dalam bahasa Sepanyol).
^ ab"Breeds" [Baka]. Adopt-a-griffon.eu (dalam bahasa Inggeris). 31 Mac 2015. Dicapai pada 27 Disember 2023.
^"REAL SOCIEDAD CANINA DE ESPAÑA". Real Sociedad Canina de España (dalam bahasa Sepanyol). Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Jun 2018. Dicapai pada 27 Disember 2023.
^"United Kennel Club: Spanish Hound" [United Kennel Club: Anjing Pemburu Sepanyol] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 April 2016. Dicapai pada 27 Disember 2023.
^Mehus-Roe, Kristin (4 Oktober 2011). The Original Dog Bible: The Definitive Source for All Things Dog [Kitab Anjing Asli: Sumber Muktamad untuk Semua Hal Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Irvine, California, Amerika Syarikat: BowTie Press. m/s. 386. ISBN9781935484899. OCLC759807401.